Oleh Mohd Fadly Samsudin

Kuala Lumpur: Tiga terbunuh manakala dua cedera dalam kemalangan di Kilometer 11.7 Lebuhraya Lingkaran Tengah Dua (MRR2) menghala ke Kepong, 12.58 tengah malam tadi.

Kemalangan membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandu lelaki berusia 35 tahun bersama tiga ahli keluarga serta seorang rakannya.

Difahamkan, mereka dalam perjalanan pulang ke Taman Selayang Makmur, Batu Caves, di sini, selepas mengambil dua anaknya menjalani latihan badminton di Setapak.

Menurut sumber, mangsa yang maut adalah ibu pemandu, Kham Chui Yoke, 59, anak pemandu, Ng Lee Teng, 10, dan rakannya, Kueh Chin Hui, 42.

Kereta yang dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan sebelum melanggar besi pembahagi jalan dan tiang konkrit.

"Semua mangsa maut di lokasi kejadian. Mayat dibawa ke Hospital Selayang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 January 2015 @ 1:13 PM