ANTARA busana Muslimah dari Signature.
ANTARA busana Muslimah dari Signature.
ANTARA busana Muslimah dari Signature.
ANTARA busana Muslimah dari Signature.
ANTARA busana Muslimah dari Signature.
ANTARA busana Muslimah dari Signature.
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan
[email protected].

Diilhamkan berdasarkan pemerhatian terhadap pakaian wanita Timur Tengah yang labuh hingga ke paras betis, Busana Signature tampil dengan rangkaian koleksi yang pasti memikat hati Muslimah yang ingin bergaya, tetapi masih dalam keadaan sopan dan menutup aurat.

Ketua Pegawai Eksekutif Busana Signature Suzi Ramli berkata, ilham menghasilkan baju labuh sehingga 25 inci tercetus berikutan kesukaran dirinya mendapatkan pakaian dengan rekaan berkenaan di pasaran negara ini.

Buat permulaan, dia memperkenalkan baju labuh sehingga menghampiri paras lutut dan memperkenalkan baju lebih labuh di pasaran secara berperingkat, supaya fesyen berkenaan dapat diterima wanita di negara ini.

"Buat masa ini, saya memperkenalkan pakaian labuh sehingga 25 inci kerana sebelum ini pernah cuba memasarkan yang lebih labuh, tetapi ramai yang kurang pasti untuk menggayakannya dan mahukan baju labuh sehingga paras lutut.

"Namun, saya akan mengeluarkan baju yang lebih labuh mungkin sehingga paras betis pada masa depan secara berperingkat.

"Matlamat saya menghasilkan pakaian yang ringkas, anggun, sopan, boleh dipadankan dengan skirt atau seluar, tidak jarang atau ketat," katanya yang turut memaparkan koleksinya di Facebook/busanasignature dan Instagram@busanasignature.

Antara koleksi Busana Signature ialah Jameelah dengan rekaan ala baju kurung Kedah berpotongan segi empat dan Orked dengan rekaan baju labuh daripada kain kapas Jepun dengan perincian renda lembut di bahagian tangan.

Menurutnya, dia juga menjadikan baju kurung sebagai sumber inspirasi menghasilkan baju labuh, tetapi dengan rekaan lebih moden.

Malah, Busana Signature akan menghasilkan blaus diperbuat daripada kain kapas sutera untuk memberi lebih pilihan kepada pelanggan.

Blaus berkenaan memudahkan wanita berfesyen kerana bukan saja mudah dipadankan dengan seluar dan skirt, ia juga tidak panas, mudah digosok, memiliki kain renda di bahagian lengan dan labuh menutup punggung.

Lebih istimewa, blaus berkenaan turut dilengkapi dengan zip pada bahagian dada dan lengan untuk memudahkan wanita menyusukan anak atau berwuduk.

"Pemilihan warna pula kebanyakannya daripada warna lembut dan semula jadi, namun sekali sekala saya turut menyelitkan warna terang seperti merah, oren dan kuning demi memberi pilihan kepada ramai pelanggan.

"Saiz bermula daripada S hingga XL, tetapi biarpun begitu, ia besar sedikit daripada saiz biasa di pasaran iaitu bermula saiz 40 hingga 44.

"Bagi koleksi akan datang, saya turut memberi fokus kepada baju labuh dalam saiz lebih besar iaitu antara saiz 46 hingga 52," katanya.

Pada masa sama, Suzi turut memasarkan jubah Tyra daripada koleksi Ameera, Deandra dan Marissa yang memperlihatkan penggunaan kain satin 'dull' dan 'koshibo' yang tahan lasak, tidak panas dan menarik, sesuai digayakan pada majlis formal atau aktiviti santai.

Jubah Tyra berpotongan A juga lengkap dengan zip di bahagian dada dan lengan supaya sesuai untuk ibu menyusu dan memudahkan wuduk.

Koleksinya tidak terhad untuk mereka yang ingin ke majlis formal atau sekadar bergaya ke pejabat, tetapi ia juga menampilkan rangkaian yang sesuai digayakan untuk majlis pertunangan.

"Koleksi jubah Tyra lengkap dengan perincian renda rekaan tersendiri pada bahagian lengan yang sangat lembut supaya selesa pada bayi yang menyusu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 January 2015 @ 5:04 AM