Di sebalik populariti dikecapi bintang Liverpool, Mamadou Sakho, yang turut gah menyarung jersi Perancis, tersemat naluri kemanusiaan yang sentiasa ingin membahagiakan orang lain.

Pertahanan Les Bleus berketurunan Senegal itu tidak pernah menganggap kelebihan dimiliki; menyertai pasukan hebat dan sentiasa berkelana mengelilingi dunia sebagai tiket untuk bermegah-megah.

Minat mendalamnya untuk menyertai kerja amal, mendekati masyarakat tempatan ternyata bermula sejak Sakho beraksi di Paris Saint-Germain, kelab pertamanya di mana dia sendiri menjadi kapten kelab berkenaan pada usia 17 tahun.

“Ia sesuatu bagi saya, biasa. Perkara yang perlu anda lakukan,” katanya ketika menyertai satu program amal di Liverpool, tidak lama dahulu.

“Cara saya dibesarkan mengajar untuk menjadi sedemikian. Saya ingin melakukannya lebih lagi, bukan hanya di Liverpool tetapi juga di Perancis dan Senegal.

"Saya mendapatkan bantuan lain untuk membantu projek ini, berharap dapat menambah banyak aktiviti. Saya percaya terhadap ‘pelaburan’ untuk generasi muda. Objektif utama adalah berkongsi sesuatu dengan mereka.

“Jika mereka melihat seseorang yang menunjukkan contoh baik sepanjang mereka membesar dan jika anda boleh membantu mereka, sama ada di sekolah, di alam pekerjaan atau sukan, bagi saya ia amat penting.”

“Di Perancis, kami mempunyai perkataan untuk ini: ‘declic’ yang bermakna pencetus atau titik perubahan, sesuatu yang memberi inspirasi untuk maju ke hadapan.”

Malah dia menubuhkan sebuah persatuan dipanggil AMSAK, bertujuan untuk membantu mereka yang memerlukan dengan tumpuan diberikan terhadap enam aspek penting.

Enam aspek penting itu adalah pendidikan, penjagaan kesihatan, sukan, pembangunan, humanitarian dan sosial.

Pemain yang dikenali sebagai ‘Kikirou’, mengambil sempena gaya rambut watak dalam kisah dongeng Kikirou dan Ahli Sihir turut membanggakan dunia Muslim apabila diturunkan bersama skuad Perancis untuk Piala Dunia tahun lalu, yang membawa mereka ke suku akhir.

Antara fakta menarik mengenai Sakho, pemain itu pada asalnya memegang posisi penyerang tetapi memandangkan kelabnya PSG tidak mempunyai cukup pertahanan, dia kemudiannya diminta menukar posisi dan keadaan itu kekal sehingga sekarang.

Begitupun ramai yang tidak mengetahui Sakho sebelum ini boleh dianggap ‘budak nakal’ hingga hampir dibuang daripada akademi, namun hasil bimbingan keluarga dan jurulatih skuad bawah-13 tahun Paris Saint Germain, Christian Mas, dia mula menunjukkan perubahan dan kembali memberi tumpuan terhadap sukan dan pelajaran.

Kematian bapanya pada usia 14 tahun, hampir melunturkan semangatnya untuk terus bermain dan hampir meninggalkan sukan itu tetapi apabila menyedari tindakan itu sia-sia, dia kembali menyarung jersi.

Tidak dinafikan juga, nilai murni ajaran Islam yang tersemat dalam dirinya turut membuatnya lebih prihatin dalam satu isu yang sekian lama membelenggu bola sepak iaitu masalah perkauman.

Meskipun Sakho sendiri mengakui tidak pernah menjadi ‘mangsa’ namun dengan begitu banyak kes seumpamanya didedahkan, dia berpendapat sudah tiba masanya isu yang membarah dalam dunia sukan itu dihentikan.

Menurutnya, hanya menerusi pendidikan isu seperti perkauman dan diskriminasi dapat diselesaikan terutama jika ia ditangani di peringkat awal lagi.

“Menerusi yayasan saya di Perancis, saya sentiasa menggalakan golongan muda yang saya temui supaya melupakan mengenai isu perkauman.

“Fokus anda adalah untuk hidup bersama tidak kira jika anda Kristian, Muslim, apa saja warna kulit anda, orang muda perlu melupakan semua perbezaan itu.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 January 2015 @ 5:08 AM