Pangkalan Bun : Badan Sar Nasional (Basarnas) akan memberi keutamaan kepada pencarian mayat mangsa nahas pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 dan terus mencari bangkai utama pesawat berkenaan tanpa henti.

"Kami akan meneruskan pencarian bangkai utama pesawat berkenaan kerana percaya majoriti mayat mangsa terperangkap di dalamnya,” kata Pengarah Operasi Basarnas, SB Supriyadi.

Supriyadi berkata, pihaknya juga sudah meminta bantuan daripada nelayan.

"Kita harus mendapatkan bangkai utama pesawat untuk mengeluarkan baki mayat mangsa untuk dikembalikan kepada keluarga masing-masing.

"Kita sudah meminta bantuan nelayan, sekiranya mereka menemui mayat ketika mereka turun ke laut untuk menangkap ikan, mereka diminta menyalurkan maklumat segera kepada kita,” katany

Menurutnya, kira-kira 50 peratus daripada jumlah penumpang dan krew pesawat terperangkap di bangkai utama pesawat berkenaan.

Katanya, sebanyak tujuh kapal terbabit dalam operasi pencarian dengan bantuan 81 penyelam iaitu KRI Banda Aceh, Jadayat, GeoSurvey, Java Enterprise, Trisula, KRI Usman Harun dan KRI Hasanuddin.

"Peratus yang kita anggarkan itu adalah hasil daripada penemuan serpihan sehingga kini. Jika 50 peratus daripada jumlah penumpang, kira-kira 60 lagi boleh ditemui, itu satu jumlah yang luar biasa,” katanya.

Beliau turut berharap mayat yang bakal ditemui itu masih dalam keadaan baik meskipun sudah dua minggu berada dalam laut dan pasukan pencari akan berusaha untuk mengangkat keluar mayat bersama bangkai pesawat.

"Kita akan menyiapkan penyelam untuk proses mengangkat keluar. Jika mayat dapat diangkat bersama bangkai pesawat ia lebih mudah kerana sekiranya ada mayat mangsa yang tidak sempurna kita mampu mencari di ruang kabinnya,” katanya.

Seperti diketahui, hingga hari ini sebanyak 48 mayat mangsa sudah ditemui dan tujuh mayat terakhir tiba di Pangkalan Bun, Jumaat lalu dan selepas melalui proses pengecaman awal, semua mayat itu sudah dihantar ke Surabaya. - detik.com

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 January 2015 @ 2:40 PM