Bekas Pengerusi Jawatankuasa Masjid Al-Hamideen, Bukit Cina, berusia 66 tahun diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas mendapat lanjutan reman selama tiga hari di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, bagi membantu siasatan membabitkan urusan jual beli tanah wakaf Masjid Al-Hamideen, Bukit Cina. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan

Mohd Hilmie Hussin

Melaka: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya mendapat lanjutan reman selama tiga hari ke atas bekas Pengerusi Jawatankuasa Masjid Al-Hamideen, Bukit Cina, berusia 66 tahun, hari ini.

Perintah reman hingga 9 Mei 2017 itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Ayer Keroh Mohd Anuar Ostadi, sekali gus membolehkan SPRM meneruskan siasatan mengikut Seksyen 6 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Seksyen 405 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, bekas Setiausaha Jawatankuasa masjid terbabit, berusia 46 tahun dilepaskan reman dengan jaminan RM10,000 tanpa deposit dengan dua penjamin.

Terdahulu, kedua-dua suspek tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Ayer Keroh, di sini, jam 11 pagi.

Sebelum ini, kedua-dua suspek direman empat hari bermula Rabu bagi membantu siasatan membabitkan urusan jual beli tanah wakaf Masjid Al-Hamideen, Bukit Cina, di sini.

Semalam, seorang ahli perniagaan yang juga pembeli tanah wakaf terbabit, berusia 66 tahun direman empat hari bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 6 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mei 2017 @ 1:17 PM