Johnny Depp
Johnny Depp
Susunan Michelle Gun


Mengejutkan apabila bekas pengurus perniagaan Johnny Depp mendedahkan pelakon itu menggunakan jurutera bunyi untuk membantunya membaca skrip ketika penggambaran.

‘Rahsia’ terbongkar selepas pelakon Pirates Of The Caribbean itu bertindak menuntut saman kerugian sebanyak AS$33 juta daripada The Management Group (TMG) atas dakwaan penipuan wang.

Difahamkan bintang Hollywood berusia 53 tahun itu menuduh syarikat berkenaan gagal menguruskan kewangannya dengan baik sepanjang karier seninya.

Berikutan itu, TMG mendedahkan Depp membayar seseorang ratusan ribu dolar untuk membaca dialognya menerusi alat pendengar kerana enggan menghafal skrip.

Dalam kertas aduan kepada Mahkamah Tinggi Los Angeles, syarikat berkenaan mendakwa pelakon terbabit menggunakan taktik itu sejak beberapa tahun lalu.

Syarikat itu turut menjelaskan Depp mengalami masalah kewangan kerana terlampau boros dan membelanjakan AS$2 juta setiap bulan untuk menampung kehidupan mewahnya.

Selain itu, Depp dikatakan berbelanja AS$75 juta untuk membeli dan mengubah suai 14 kediaman di Bahamas, Hollywood dan Perancis.

Perbelanjaan lain Depp juga termasuk membayar gaji 40 kakitangan sepenuh masa di serata dunia dan wain mahal.

Bakal muncul dalam filem kelima Pirates Of The Caribbean: Dead Men Tell No Tales, pelakon itu memecat TMG pada Mac tahun lalu sebelum menyaman syarikat itu Januari lalu.

Akhirnya, Depp membuka mulut terhadap saman terbabit dalam temu bual bersama Wall Street Journal dan menafikan masalah kewangannya akibat perbelanjaan melampau.

“Itu duit saya. Kalau saya mahu membeli 15,000 bola kapas setiap hari, itu hak saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2017 @ 5:49 AM