Hayati Ibrahim


Putrajaya: Selepas 11 hari direman, bookie bola sepak yang ditahan bagi membantu siasatan rasuah berhubung isu mengatur keputusan perlawanan Liga Perdana dibebaskan dengan jaminan, hari ini.

Lelaki berusia 49 tahun itu dibebaskan dengan jaminan RM60,000.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman yang turut menetapkan dua penjamin bagi kes berkenaan.

Lelaki itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 5.30 petang 6 April lalu di ibu negara selepas dipercayai menawarkan sejumlah wang dengan nilai ribuan ringgit kepada pemain untuk mengatur keputusan perlawanan.

Difahamkan, bookie berkenaan menawarkan RM10,000 hingga RM30,00 kepada pemain kelab Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MISC-MIFA) sebagai habuan bagi menentukan keputusan perlawanan.

Turut ditahan tiga pemain bola sepak berkenaan masing-masing berusia 26 hingga 29 tahun yang ditahan reman tujuh hari bermula 7 April lalu.

Ketiga-tiga pemain itu termasuk seorang pemain import berasal dari Argentina dan dua pemain bola sepak tempatan.

Bagaimanapun, ketiga-tiga pemain berkenaan dibebaskan 12 April lalu, dengan jaminan SPRM manakala bookie berkenaan disambung reman selama lima hari lagi dan tamat hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2017 @ 12:46 PM