Adam Rosly direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kekayaan luar biasa dimilikinya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Adam Rosly direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kekayaan luar biasa dimilikinya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Mohd Husni Mohd Noor

my

Putrajaya: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Ampang Datuk Adam Rosly Abdullah ditahan reman selama lima hari oleh Mahkamah Majistret Putrajaya bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kekayaan luar biasa dimilikinya.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Abd Rahman selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Adam Rosly, 29, ditahan untuk disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.

Dia tiba di mahkamah jam 9.25 pagi tadi dengan memakai baju lokap SPRM dan bergari sambil diiringi beberapa pegawai SPRM.

Pada 10 Februari lalu, SPRM sudah merakam keterangan suspek berhubung dakwaan kekayaan luar biasa termasuk memiliki banglo dan beberapa kereta mewah meskipun baru memegang jawatan dalam PKR.

Semalam, beliau ditahan di ibu pejabat SPRM selepas datang untuk memberi keterangan berhubung dakwaan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2017 @ 11:30 AM