Hamzah (kiri) melihat tayar yang diproses sambil ditemani Pengurus Besar Suntex, Melvin Khaw (tengah) dalam lawatan ke Kilang Suntex, Seremban. FOTO Adzlan Sidek
Hamzah (kiri) melihat tayar yang diproses sambil ditemani Pengurus Besar Suntex, Melvin Khaw (tengah) dalam lawatan ke Kilang Suntex, Seremban. FOTO Adzlan Sidek
Khairul Najib Asarulah Khan dan Kamariah Samir


Seremban: Meletakkan tarikh dikeluarkan serta tidak boleh digunakan lebih tiga kali antara syarat baru diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) terhadap syarikat pengeluaran tayar celup.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, selain itu kementerian juga mengkaji semula jumlah sebatian getah dalam pembuatan tayar mengikut kesesuaian cuaca terkini bagi mengelakkan risiko kemalangan akibat tayar kurang berkualiti.

"Justeru, melalui pendekatan ini, kita memberi amaran untuk menggantung lesen syarikat mengeluarkan tayar celup yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

"KPDNKK menjalankan pemeriksaan terhadap syarikat pengeluaran itu dalam tempoh sebulan bermula hari ini. Tindakan ini diambil berikutan kami mengesan banyak kes membabitkan kenderaan perdagangan berat yang menggunakan tayar celup yang tidak mengikut standard ditetapkan,” katanya selepas mengadakan lawatan di sebuah kilang tayar di Senawang, di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 97 syarikat mempunyai lesen pengeluaran tayar celup namun tidak pasti sama ada mengikut spesifikasi ditetapkan atau tidak.

"Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) dan Lembaga Getah Malaysia (LGM) akan mengeluarkan kompaun pada syarikat yang dikesan melakukan kesalahan berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2017 @ 5:48 PM