GAMBAR keluarga arwah Muhamad Saiful (berdiri, kiri), Paridah (berdiri, tiga kiri) dan Nur Assyifa' (didukung, dua kanan). FOTO ihsan keluarga Sidik Awang
GAMBAR keluarga arwah Muhamad Saiful (berdiri, kiri), Paridah (berdiri, tiga kiri) dan Nur Assyifa' (didukung, dua kanan). FOTO ihsan keluarga Sidik Awang
Muhamaad Razis Ismail


Tanah Merah: Tiga daripada empat mangsa kemalangan maut di Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli, hari ini dalam perjalanan pulang selepas ke Politeknik Muadzah Shah untuk mengambil barang anak.

Sidik Awang, 60, berkata, mereka pergi ke PoliteknikMuadzam Shah sehari sebelum kejadian dengan menaiki dua kereta.

Katanya, dia menaiki kereta bersama tiga ahli keluarga manakala isteri, cucu dan tiga anak menaiki kereta berasingan.

"Kami bertolak untuk pulang semula ke Jeli, 9 pagi semalam.

"Sebaik tiba di Tanah Merah, saya dapati sebuah lagi kereta yang dinaiki mereka tiada di belakang. Saya cuba hubungi isteri namun panggilan tidak dijawab sebelum saya berpatah balik.

"Tidak lama kemudian saya mendapat panggilan memaklumkan ahli keluarga terbabit dengan kemalangan dansaya terus ke Hospital Tanah Merah(HTM)" katanya ketika ditemui di HTM di sini, hari ini.

Menurutnya, sebaik tiba di hospital dia dimaklumkan isteri, cucu dan seorang anak sudah meninggal dunia manakala dua lagi parah.

"Pemergian mereka amat dirasai namun saya reda.

"Jenazah akan dikebumikan di Kampung Lubok Bangor, Jeli selepas solat Asar ini," katanya.

Harian Metro melaporkan empat maut termasuk tiga sekeluarga dalam kemalangan babit dua kereta di Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli dekat Kampung Batu 9, Batang Merbau di sini, 1.30 pagi tadi.

Mereka yang maut adalah Mohd Roza Ismail,38; Muhamad Saiful Sidik, 17, dan ibunya, Paridah Ismail, 54; serta anak saudara, Nur Assyifa' Muhamad Shaharil, 3.

Dua lagi parah iaitu abang dan kakak Muhamad Saiful iaitu Muhamad Shaharil, 31, dan Suhailah, 23.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Muhamad Shaharil hilang kawalan dan bertembung dengan kereta dipandu Mohd Roza dari arah Jeli ke Machang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2017 @ 6:46 PM