Afiq Hanif


Baru-baru ini, Apple bekerjasama agensi berkaitan kempen kesedaran HIV memperkenalkan edisi khas iPhone 7 dan 7 Plus warna merah yang sudah pun dijual bermula 24 Mac lalu.

Terdapat 40 negara bakal menerimanya terlebih dahulu namun Malaysia bukan salah satu daripadanya.

Untuk pasaran Malaysia, ia dijual pada harga bermula RM3,699 bagi edisi 128GB atau 256GB.

iPhone dilengkapi pelbagai ciri termasuk teknologi terbaharu kamera, kalis debu dan air serta beberapa ciri lain.

Penguji berkesempatan membelek iPhone 7 Red dan anda boleh teruskan bacaan untuk menilai sendiri sama ada berbaloi atau tidak membelinya.

Secara peribadi, tiada yang berbeza dari aspek spesifikasi untuk iPhone 7 Red melainkan warna saja berubah di belakang.

Penguji agak hairan selepas membelek iPhone 7 Red kerana ia tidaklah merah sepenuhnya. Bahagian depannya putih dan hanya belakang dan sisi saja berwarna merah.

Warna merahnya memang menawan. Tidak terlalu garang dan tidak pula terlalu lembut, memang ‘ngam’ kata orang.

Cuma apabila bahagian depannya putih, ia memang mengecewakan namun penguji beranggapan kemungkinan Apple pula takut disaman jika menghasilkan warna merah secara keseluruhan kerana satu lagi pengeluar telefon pintar berbuat demikian dulu.

Butang Home kekal unik kerana ia tidak lagi menggunakan butang tekan mekanikal namun kini berubah kepada butang sentuh kapasitif dengan enjin getaran taptik yang menambah getaran.

Disebabkan tiada lagi butang Home secara mekanikal, kaedah untuk ‘restart’ iPhone 7 berbeza apabila butang kuasa dan butang ‘volume down’ perlu ditekan serentak untuk tujuan terbabit.

Pengimbas cap jari TouchID masih kekal di lokasi sama dan ia masih pantas seakan-akan tiada imbasan dibuat apabila jari diletakkan pada butang Home.

Iphone 7 Red mengekalkan kuasa pemprosesan A10 Fusion dual core dengan RAM 2GB. Nampak biasa tapi mencukupi untuk operasi telefon.

Adakah berbaloi memiliki iPhone 7 Red? Jika anda mahukan kecantikan, ya!

INFO

iPHONE 7 RED

• PENGELUAR: Apple

• PENGEDAR: Apple

• CIRI: Warna merah!

• PRO: Rekaan saja cantik

• KONTRA: Bukan merah secara keseluruhan

• LAMAN WEB: www.apple.com/my

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2017 @ 11:12 AM