Ramli (tengah) menunjukkan Colt .45 bersama senjata yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah. FOTO Mohd Adam Arinin
Ramli (tengah) menunjukkan Colt .45 bersama senjata yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah. FOTO Mohd Adam Arinin
Mohd Ruzaini Zulkepli


Kota Kinabalu: Polis mengesahkan lelaki yang ditembak mati di Taman Sri Gayang, Tuaran, malam tadi, adalah ketua kumpulan pecah rumah, curi kenderaan dan samun yang dikehendaki pihak berkuasa.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din berkata, suspek berusia 37 tahun itu disyaki terbabit secara langsung dengan 10 kes jenayah berat sejak 2015 lagi di negeri ini.

Beliau berkata, dalam kejadian jam 7 malam di Taman Sri Gayang, suspek disyaki melepaskan dua das tembakan ke arah anggota polis yang membuat serbuan di lokasi berkenaan.

"Untuk mempertahankan diri, polis membalas dengan melepaskan lima das tembakan dan terkena suspek menyebabkan dia mati di tempat kejadian," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Ramli berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek itu terbabit secara langsung dalam kejadian samun dan pecah sebuah rumah ahli perniagaan di Keningau pada 17 Mac lalu sehingga menyebabkan kerugian lebih RM590,000.

Beliau berkata, pihaknya merampas sepucuk pistol jenis Colt 45 berserta empat butir peluru, sebilah kapak, pisau Rambo dan dua parang panjang.

"Hasil pemeriksaan lanjut di tempat kejadian menemui dua bungkus plastik yang disyaki syabu seberat 3.7 kilogram bernilai RM300,000.

"Siasatan awal mendapati, dadah berkenaan cuba diedarkan oleh suspek, "katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307, Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2017 @ 4:07 PM