Ridhatul Rizki


Kuala Lumpur: Demi mendekatkan kanak-kanak di Chow Kit dengan masyarakat, Yayasan Chow Kit (YCK) akan menganjurkan larian Chow Kit Run, 8 April ini.

Pengasas Yayasan Chow Kit, Hartini Zainudin berkata, 50 kanak-kanak dan remaja Chow Kit berusia tujuh hingga 18 tahun akan turut serta dalam larian terbabit.

“Tujuan kami mengadakan larian ini adalah untuk mendedahkan kanak-kanak di Chow Kit dengan masyarakat. Mudah-mudahan satu hari nanti mereka dapat membina keyakinan diri dan bersuara bagi mempertahankan hak mereka,” katanya ketika majlis sidang media Chow Kit Run di Kuala Lumpur, semalam.

Tambah Hartini, YCK sentiasa komited dalam menyediakan tempat perlindungan buat kanak-kanak di kawasan itu untuk bermain dan menimba ilmu.

“Setakat ini, YCK 1,800 kanak-kanak berdaftar dengan kami tetapi 75 hingga 200 orang saja yang datang hampir setiap hari.

“Mereka adalah anak-anak Chow Kit di mana ibu bapa mereka mungkin sibuk bekerja dan mereka tiada tempat yang selamat untuk bermain. Itulah peranan YCK untuk menyediakan tempat perlindungan kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, larian Chow Kit Run juga bertujuan untuk mendedahkan kepada masyarakat tentang keunikan Chow Kit, kata Hartini.

“Chow Kit juga memiliki beberapa lokasi menarik. Diharap menerusi larian ini, masyarakat dapat lihat sendiri keunikan Chow Kit,” katanya.

Tambahnya, 1,200 peserta bakal menyertai larian 6 kilometer dan 2 kilometer yang bermula dan berakhir di Sekolah Kebangsaan (P) Jalan Batu, Kuala Lumpur.

Malah peserta perlu melalui beberapa tempat menarik di sekitar Kuala Lumpur seperti Sunway Putra Mall, Putra World Trade Center (PWTC) dan bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Mereka juga berlari sambil memakai topeng kreatif yang direka khas oleh kanak-kanak YCK. Kami mahu kanak-kanak dan remaja Chow Kit terlibat secara langsung dalam acara ini. Oleh itu, mereka diminta untuk membuat topeng mengikut kreativiti masing-masing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2017 @ 1:22 PM
HARTINI (tiga kanan) bersama penaja larian Chow Kit Run. FOTO Ridhatul Rizki
HARTINI (tiga kanan) bersama penaja larian Chow Kit Run. FOTO Ridhatul Rizki