Reuters

Luxembourg: Jarang bermain dalam kesebelasan utama buat kelabnya Arsenal musim ini, Olivier Giroud (gambar) sekali lagi membuktikan nilainya kepada Perancis apabila dia menyumbat dua gol ketika menang 3-1 ke atas Luxembourg pada kelayakan Piala Dunia, awal pagi semalam.

Gol antarabangsa ke-22 dan 23 penyerang itu melonjakkannya ke tangga ke-10 dalam senarai penjaring gol terbanyak Perancis sepanjang zaman selepas menjadi penjaring terbanyak Les Bleus pada 2016.

“Sekalipun dia bermasalah di kelabnya, Olivier sering menyumbang gol buat kami,” kata jurulatih Perancis, Didier Deschamps.

Giroud bermula dalam hanya tujuh perlawanan Liga Perdana buat Arsenal, namun dia tidak menunjukkan tanda berkarat menentang Luxembourg apabila kehadirannya ternyata tidak ternilai menentang pasukan yang beraksi secara bertahan.

Dia meledak gol pertama dari jarak dekat hasil hantaran baik Djibril Sidibe sebelum menanduk masuk hantaran silang Benjamin Mendy dalam penampilan ke-60 di peringkat antarabangsa.

“Amat menggembirakan kerana penyerang memerlukan gol dan statistik amat penting buat kami,” ujar Giroud.

“Apapun orang kata mengenai saya, saya tetap begini dan memberikan jawapannya di tengah padang.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mac 2017 @ 11:30 PM