Nabil Basaruddin


Kuala Lumpur: Ekonomi Malaysia dijangka kekal berkembang sekitar 4.3 dan 4.8 peratus pada 2017, disokong permintaan dalam negeri sebagai pemacu utama pertumbuhan dan disokong oleh aktiviti sektor swasta.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Muhammad Ibrahim, berkata meskipun inflasi dijangka lebih tinggi, pertumbuhan penggunaan swasta dijangka terus didorong upah yang terus meningkat dan peningkatan pendapatan boleh guna disebabkan pelaksanaan langkah tertentu kerajaan serta harga komoditi global yang lebih tinggi.

"Dalam persekitaran sentimen perniagaan yang berhati-hati dan suasana ekonomi yang terus tidak menentu, pertumbuhan pelaburan diunjur kekal sederhana," katanya pada sidang media Taklimat Laporan Tahunan 2016 dan Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran 2016, di sini, hari ini.

Menurutnya, aktiviti pelaburan swasta akan disokong oleh peningkatan perbelanjaan modal dalam industri berorientasikan eksport serta projek yang sedang dilaksanakan dan projek baharu, khususnya dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan.

Sementara itu, sektor luaran Malaysia dijangka kekal berdaya tahan walaupun persekitaran global terus tidak menentu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2017 @ 6:37 PM