SUHANA bersama antara hasil gubahannya.
SUHANA bersama antara hasil gubahannya.
 SUHANA tekun ketika menyiapkan tempahan pelanggan.
SUHANA tekun ketika menyiapkan tempahan pelanggan.
ANTARA aksesori digunakan Suhana untuk menghias dan menggubah hamper atau kotak songket.
ANTARA aksesori digunakan Suhana untuk menghias dan menggubah hamper atau kotak songket.
HASIL kerja tangan Suhana.
HASIL kerja tangan Suhana.
 CANTIK dan kreatif.
CANTIK dan kreatif.
Siti Nadirah Hafidzin

Cuba mencari kelainan bagi memastikan produk biskut dan kek dihasilkan kelihatan eksklusif dan lain daripada lain menjadi detik permulaan wanita kelahiran Seremban, Negeri Sembilan ini menceburi bidang gubahan.

Dia menggunakan kemahiran dan hobi yang gemar membuat gubahan sebagai asas memulakan perniagaan gubahan.

Bagi Suhana Md Zin, 40, pilihannya menjalankan perniagaan gubahan hamper dan cenderahati secara dalam talian selain turut mengedarkan produk kraftangan songket dari Marang, Terengganu menjadi pilihan tepat memandangkan ia menerima sambutan menggalakkan.

“Semuanya bermula apabila kebanyakan pelanggan yang menempah biskut dan kek meminta saya menyediakan hamper dan cenderahati yang digubah sendiri.

“Kebetulan saya amat gemarkan seni gubahan dan sering membuat gubahan hantaran menjadikan saya menyahut permintaan pelanggan menyediakan hamper dan kotak cenderahati diisi dengan biskut serta kek,” katanya.

Menurut Suhana, bermula daripada bakeri dan atas permintaan pelanggan yang mahukan produk dibeli dihias cantik untuk dijadikan cenderahati merangsang semangatnya menjalankan perkhidmatan gubahan hamper.

“Hamper yang disediakan adalah mengikut bajet dan cita rasa yang dimahukan pelanggan bagi memastikan ia memuaskan hati. Semua produk saya dijual dengan harga serendah RM9 sehingga RM350.

“Manakala untuk hamper perayaan harganya bermula RM10 hingga RM3,000 mengikut jenis serta kualiti dimahukan pelanggan,” ujarnya.

Suhana berkata, gubahan hamper yang disediakannya sesuai dijadikan hadiah untuk jamuan hari jadi, sambutan hari guru, hantaran pertunangan dan pernikahan, pemberian pada hari raya atau cenderahati majlis perkahwinan.

“Setiap hamper akan diisi dengan pilihan biskut atau kek yang saya hasilkan sendiri. Setiap hamper saya adalah keluaran khas yang hanya menggunakan produk songket antaranya biskut yang dimasukkan ke dalam kotak atau beg songket dihias mengikut kreativiti saya sendiri.

“Kotak songket bersaiz kecil sangat diminati kerana ia boleh dijadikan cenderahati untuk pelbagai majlis,” katanya.

Kata Suhana, pelanggan juga boleh menempah kotak songket kosong tanpa diisi sebarang produk untuk digunakan mengikut kehendak sendiri. Produk Suhana boleh dilihat melalui laman Facebook suhanazain696 atau di Kota Songket Dan Beg Songket Ekslusif.

Gubahan ikut tema

Suhana mengakui gubahan hamper dan kotak songket perlulah terkini dan unik supaya dapat memuaskan hati pelanggan.

“Bagi menjaga kualiti, saya akan pastikan setiap gubahan itu mengikut kemahuan pelanggan terutama dari segi tema, warna dan jenis bahan yang dimasukkan ke dalam hamper.

“Perbincangan dan persetujuan dengan pelanggan adalah perkara diutamakan supaya tidak berlaku sebarang masalah yang tidak diingini kelak,” katanya.

Menurut Suhana, dia sentiasa mencari maklumat mengenai trend bungkusan hamper terkini melalui Internet atau majalah yang kemudian diolah semula mengikut kreativitinya sendiri.

“Disebabkan saingan agak sengit, saya sentiasa positif dengan cuba mencari kelainan terutama dalam penggubahan bungkusan hamper menggunakan hiasan bunga atau warna yang ceria.

“Ia membantu menaikkan lagi impak ceria pada hamper itu yang pastinya membuatkan penerima berasa gembira,” katanya.

Suhana berkata, antara tempahan yang paling menggalakkan adalah bungkusan hamper biskut raya atas jenama miliknya Airis Dlike terutama menjelang Ramadan dan Aidilfitri.

“Mungkin disebabkan biskut yang dibungkus itu adalah buatan saya sendiri menjadikan ia lebih istimewa dan unik. Bukan saja disebabkan keunikan gubahan hamper itu, malah keenakan biskut dan kek itu amat memainkan peranan dalam memastikan hamper dan kotak gubahan itu terus mendapat tempahan,” ujarnya.

Selepas meletak jawatan dari sebuah syarikat korporat dan menumpukan sepenuh masa pada perniagaan menjadikan dia perlu bijak membahagikan masanya bagi memastikan usaha itu tidak terhenti separuh jalan.

“Syukur keluarga amat memahami terutama suami yang banyak membantu sekiranya dia berada di rumah. Jiran, rakan dan keluarga juga turut menyokong perniagaan saya ini.

“Disebabkan kadangkala tempahan diterima amat menggalakkan terutama menjelang musim perayaan menjadikan saya perlu menyusun semua jadual harian supaya ia lebih sistematik,” katanya.

“Saya mahu perniagaan ini terus berkembang dan dapat bersaing dengan pengusaha lain. Untuk menggapai impian itu, saya perlu terus komited dan tidak boleh berhenti separuh jalan supaya apa yang saya usahakan membuahkan hasil seperti diidamkan sekali gus merealisasikan impian saya sejak kecil untuk bergelar usahawan berjaya,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2017 @ 11:36 AM