AFP

Manchester, England: Jose Mourinho berharap pemain Manchester United akan melupakan impak kekalahan Piala FA kepada Chelsea apabila kembali melangkah ke kempen Liga Europa menentang Rostov, awal pagi esok.

Penyingkiran Ander Herrera pada minit ke-35 perlawanan suku akhir Piala FA menyebabkan United terpaksa bekerja keras dengan 10 pemain selama sejam sebelum terpaksa menerima kekalahan 0-1 di tangan bekas kelab Mourinho.

United mempunyai kelebihan berbanding Rostov, selepas menjaringkan gol di tempat lawan untuk seri 1-1 pada aksi pertama pusingan 16 terakhir di Russia tetapi jadual padat bermakna mereka perlu memikirkan tahap kecergasan pemain.

“Kami mempunyai perlawanan yang amat penting Khamis ini (awal pagi esok) dan saya mahu berehat seketika untuk cuba mempersiapkan mereka sebaik mungkin,” kata pengurus United Mourinho di Stamford Bridge.

“Itu perkara penting ketika ini.”

Penggantungan Zlatan Ibrahimovic serta kecederaan Wayne Rooney dan Anthony Martial bermakna Marcus Rashford perlu bermain sebagai penyerang tunggal di Chelsea walaupun mengalami masalah kesihatan.

Biarpun masih belum jelas sama ada Rooney atau Martial akan diturunkan awal pagi esok khidmat kedua-dua Ibrahimovic dan Herrera dapat dimanfaatkan Mourinho memandangkan penggantungan mereka hanya membabitkan perlawanan domestik.

Pertahanan tengah Eric Bailly juga sedia diturunkan selepas tidak beraksi pada perlawanan pertama kerana penggantungan.

Dengan misi United dalam Piala FA berakhir, Liga Europa menjadi satu-satunya trofi yang mampu diharapkan skuad Mourinho selepas Piala Liga yang dimenangi mereka menerusi kemenangan 3-2 ke atas Southampton bulan lalu.

Jaringan penyamaan Aleksandr Bukharov pada babak kedua menyelamatkan Rostov daripada kekalahan minggu lalu di padang yang berkeadaan teruk dan membuat Mourinho naik angin tetapi jaringan Henrikh Mkhitaryan pada minit ke-35 bermakna United kembali ke England dengan keputusan seri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2017 @ 8:09 AM