MURAD menamatkan misi sejauh 380 kilometer sempena hari kelahirannya. FOTO Muhamamd Zulsyamini Sufian Suri
MURAD menamatkan misi sejauh 380 kilometer sempena hari kelahirannya. FOTO Muhamamd Zulsyamini Sufian Suri
Muhammad Zulsyamini Sufian


Kuala Kangsar: Hampir tenggelam ketika berkayak menyusuri Sungai Perak melalui kawasan sedutan pasir di mukim Bota antara cabaran yang dilalui pendayung kayak solo negara, Murad Mohd Kassim.

Murad, 47, melaksanakan Misi Kayak Solo sejauh 380 kilometer bermula di Empangan Chenderoh-Teluk Intan-Kuala Kangsar selama 24 jam pada 7 Mac lalu sebelum tiba di Dataran Arena Kuala Kangsar 3 petang tadi sempena hari kelahirannya.

Ketibaan Murad menjayakan misi ketujuhnya itu disambut isteri serta dua pelapisnya, Amirul Iqwan Jamlus, 22, dan Mohamad Asyraf Shahidan, 21, yang juga penuntut Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), di sini.

Menurut Murad, dia menyusuri sungai kedua terpanjang di Malaysia itu daripada Chenderoh menuju Teluk Intan dalam masa 24 jam sebelum berpatah balik menuju Kuala Kangsar dengan menongkah arus sungai itu.

Bekas tentera itu berkata, faktor kejayaan ekspedisinya turut didorong kayak karbon digunakannya tajaan Fissot Kayak yang lebih ringan serta sesuai bagi dayungan menongkah arus.

Menurut Murad dia bersyukur kerana tidak terserempak dengan ancaman buaya ketika mendayung di kawasan muara Sungai Perak berhampiran Teluk Intan.

"Sepanjang menyusuri sungai dari Chenderoh ke Teluk Intan, saya perlu mendayung tanpa henti bagi memastikan sampai ke lokasi dalam tempoh 24 jam.

“€œKeadaan malam yang gelap gelita juga meningkatkan risiko sehingga kayak saya hampir tenggelam selepas tersangkut sebelum terperosok di bawah satu kawasan yang menempatkan banyak tali kabel berhampiran kawasan sedutan pasir di Bota kira-kira 2 pagi,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2017 @ 9:53 PM