Antara benang yang dihasil penduduk perkampungan Donggaozhuang, Xingtai, China. - Foto People.com.cn
Antara benang yang dihasil penduduk perkampungan Donggaozhuang, Xingtai, China. - Foto People.com.cn
Agensi

Xingtai, China: Sejak meninggalkan pekerjaan tradisi sebagai petani, ramai penduduk di perkampungan Donggaozhuang, kira-kira tiga jam setengah pemanduan dari sini, yang mempunyai penduduk tidak sampai 2,000 orang, menjadi jutawan melalui perniagaan dalam talian menjual benang.

Menurut laporan Beijing Youth Daily, puluhan penduduk perkampungan itu sudah menjadi jutawan dan ia kini mempunyai 400 kedai dalam talian menjual benang menggunakan platform Taobao, anak syarikat Kumpulan Alibaba.

Menurut seorang pemimpin masyarakat, perniagaan itu dimulakan seorang generasi muda yang membeli kapas untuk dijadikan benang dan mereka memperolehi 20,000 yuan (RM12,900) dalam masa tiga bulan.

Rakannya yang menyara hidup dengan menanam gandum dan jagung, tertarik dengan perniagaan itu lalu mengikut jejaknya.

Pemimpin di kampung itu kemudian meminta lelaki berkenaan mengajar penduduk lain cara memulakan perniagaan sendiri.

Ramai penduduk kemudian menjual atau mencagarkan tanah mereka bagi mendapatkan modal untuk memulakan perniagaan membuat serta menjual pelbagai jenis benang.

Ledakan perniagaan dalam talian itu juga menyebabkan ramai remaja tidak ke sekolah bagi membantu perniagaan keluarga mereka. - SCMP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2017 @ 6:53 PM