Kemalangan yang mengorbankan pemandu Perodua Alza di Kilometer 39.3 Jalan Ipoh - Kuala Kangsar, pagi tadi. FOTO ihsan pembaca
Kemalangan yang mengorbankan pemandu Perodua Alza di Kilometer 39.3 Jalan Ipoh - Kuala Kangsar, pagi tadi. FOTO ihsan pembaca
Farah Suhaidah Othman


Sungai Siput : Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kereta dan sebuah lori di Kilometer 39.3 Jalan Ipoh - Kuala Kangsar di sini pagi tadi.

Dalam kejadian pada 8.15 pagi itu, Muhammad Azlan Abdul Jalil, 27 yang memandu kereta Perodua Alza meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu Toyota Vios cedera dan pemandu lori tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput Superintendan Abd Fatah Abd Rahman berkata, kemalangan berlaku ketika kereta Alza dipandu mangsa berhenti untuk masuk persimpangan taman perumahan berhampiran.

Katanya, kemudian sebuah kereta Vios dipandu lelaki berusia 30 tahun yang datang arah yang sama iaitu dari Kuala Kangsar menghala ke Ipoh melanggar bahagian belakang kereta Alza itu.

"Susulan pelanggaran itu, kereta dipandu mangsa ditolak masuk ke laluan bertentangan.

"Sebuah lori yang datang dari arah bertentangan iaitu dari Sungai Siput menghala ke Kuala Kangsar tidak sempat mengelak kenderaan mangsa merempuh kereta Alza itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Abd Fatah berkata susulan kejadian itu, pemandu Alza meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu Vios mengalami kecederaan dalaman.

"Siasatan masih diteruskan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2017 @ 7:54 PM