Reuters

Madrid: Kapten Real Madrid Sergio Ramos (gambar) menolak tanggapan pertahanan Barcelona, Gerard Pique bahawa pendahulu liga itu mendapat layanan baik pengadil menjelang perlawanan awal pagi esok.

Real menanti kunjungan Las Palmas manakala Barca, satu mata di belakang di tangga kedua, berdepan Sporting di laman sendiri.

Memburu mahkota La Liga pertama sejak 2012, Real mendahului selepas aksi Ahad lalu ketika kedua-dua musuh mencetak gol lewat. Barca melonjak ke tangga teratas menerusi gol lewat Lionel Messi ketika menang 2-1 ke atas Atletico Madrid.

Namun Real merampas semula kedudukan itu selepas bangkit menang 3-2 di Villarreal. Cristiano Ronaldo menyempurnakan penalti yang dipersoalkan untuk menyamakan kedudukan selepas kapten Villarreal, Bruno Soriano memegang bola berikutan keadaan kelam-kabut dalam kotak penalti.

Jurulatih Villarreal, Fran Escriba dan pemain gantian Roberto Soldado kedua-duanya disingkirkan dari bangku simpanan kerana memprotes keputusan itu.

Alvaro Morata kemudiannya menyumbat gol kemenangan pada minit ke-83.

Selepas itu, Pique menulis dalam laman Twitter contoh laporan media Sepanyol yang menyatakan keputusan pengadil memihak kepada pendahulu liga itu dan tidak memihak kepada pasukannya.

“Saya tidak percaya pengadil cuba memberi atau mengambil apa-apa daripada anda, mereka cuba bertindak adil,” katanya.

“Kami fokus untuk terus meningkat,” ujar Ramos. “Kami mahu terus meraih tiga mata dalam usaha memenangi kejuaraan.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2017 @ 7:36 AM