Raja Salman dan Najib menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara Ali Nassir dan Idris Jusoh di Kompleks Seri Perdana. FOTO Fariz Iswadi Ismail
Raja Salman dan Najib menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara Ali Nassir dan Idris Jusoh di Kompleks Seri Perdana. FOTO Fariz Iswadi Ismail
Hayati Ibrahim


Putrajaya: Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi menandatangani empat memorandum persefahaman (MoU) sempena lawatan rasmi Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, bermula semalam.

MoU pertama mengenai kerjasama dalam bidang saintifik dan pendidikan yang ditandatangani Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh dengan Menteri Buruh dan Pembangunan Sosial Arab Saudi Dr Ali Nassir Al Ghafies.

MoU kedua berkaitan kerjasama ekonomi antara kedua negara yang ditandatangani Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dengan Menteri Arab Saudi Dr Ibrahim Al Assaf.

Selain itu, Ali Nassir turut menandatangani MoU dalam bidang pekerja dan sumber manusia dengan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot.

Sementara, MoU terakhir adalah antara Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) dengan Saudi Press Agency (SPA) bagi pertukaran berita.

Majlis menandatangani MoU diwakili Pengurus Besar BERNAMA Datuk Zulkefli Salleh manakala SPA diwakili Presidennya, Abdullah Fahad Al Hussein.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Raja Salman mengadakan pertemuan sebelum diteruskan dengan mesyuarat delegasi.

Raja Salman dan delegasi kemudian berangkat menghadiri majlis makan tengah hari rasmi yang dihoskan Najib.

Baginda yang dalam rangka lawatan rasmi ke Malaysia selama empat hari bermula semalam hingga Rabu ini adalah yang pertama sejak menaiki takhta pada 23 Januari 2015.

Ini adalah lawatan sulung Raja Salman ke negara Asia Tenggara.

Lawatan negara terakhir Raja Arab Saudi ke Malaysia ialah pada 2006 oleh Almarhum Raja Abdullah Abdulaziz Al Saud.

Almarhum Raja Faisal Abdulaziz Al Saud juga pernah mengadakan lawatan negara ke Malaysia pada 1970.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Februari 2017 @ 4:42 PM