Shariffuddin (tengah) bersama ahli keluarga menyiram air mawar di pusara bapanya Allahyarham Mohamed Majid, 90, di Tanah Perkuburan Selayang Baru. FOTO Aswadi Alias
Shariffuddin (tengah) bersama ahli keluarga menyiram air mawar di pusara bapanya Allahyarham Mohamed Majid, 90, di Tanah Perkuburan Selayang Baru. FOTO Aswadi Alias
Asrizal Aris


Selayang: Mohamed Majid, 90, bapa kepada Pengarang Eksekutif (Berita dan Hal Ehwal Semasa) Harian Metro (HM), Shariffuddin Mohamed, meninggal dunia akibat sakit tua di Hospital Selayang, di sini, 11.55 pagi, hari ini.

Allahyarham yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital terbabit sejak 8 Februari lalu, menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarga.

Anak kedua Allahyarham, Fauziah Mohamed, 64, berkata, Allahyarham kelihatan sihat serta boleh menguruskan diri sebelum diserang demam panas dan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Menurutnya, dia dan anak-anaknya (cucu Allahyarham) antara yang paling rapat dengan Allahyarham kerana tinggal bersama di Taman Sri Selayang, Batu Caves, di sini.

"Walaupun dia mempunyai masalah buah pinggang, kuman pada paru-paru dan masalah usus tetapi dia cergas pada usia itu dan boleh bangun bergerak sendiri," katanya ketika di temui di Tanah Perkuburan Selayang Baru, di sini.

Allahyarham Mohamed disembahyangkan di Masjid Jamek Al-Amaniah selepas solat Asar dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Selayang Baru, 6 petang tadi.

Turut hadir, Pengarang Kumpulan HM, Datuk Mustapa Omar, Timbalan Pengarang HM, Ahmad@Salim Bachok dan Pengarang Eksekutif (Pengeluaran/BPI) HM, Othman Mamat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Februari 2017 @ 8:03 PM