ANGGOTA polis membawa keluar  dua lelaki dari Mahkamah Sungai Petani selepas  mendapat perintah tahanan reman. FOTO Omar Osman
ANGGOTA polis membawa keluar dua lelaki dari Mahkamah Sungai Petani selepas mendapat perintah tahanan reman. FOTO Omar Osman
Omar Osman


Sungai Petani: Dua lelaki direman tiga hari bermula hari ini kerana dipercayai mengedar dan memiliki dadah selain menyimpan senapang angin bersama pedang samurai serta buku lima di rumah di Kampung Pantai Cicar di sini, semalam.

Penganggur berusia 33 tahun itu yang menjalankan kegiatan mengedar dadah secara kecil-kecilan ditahan polis 10.45 pagi di hadapan rumah sementara suspek kedua berusia 27 ditahan di dalam rumah kerana memiliki dadah lima minit kemudian.

Suspek pertama yang berbaju merah dan rakannya tiba di perkarangan Mahkamah Majistret Sungai Petani kira-kira 9 pagi tadi untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Majistret Adibah Husna Zainol kemudian membenarkan suspek direman tiga hari bermula hari ini.

Harian Metro Online semalam melaporkan tindakan penganggur mengedar dadah di sekitar daerah ini dan memiliki selaras senapang angin bersama pedang samurai serta buku lima mengundang padah apabila dia ditahan di rumah di Kampung Pantai Cicar, di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Saifi Abd Hamid berkata, hasil pemeriksaan pada badannya menemui tiga paket plastik lutsinar besar dan lapan bungkusan kecil mengandungi serbuk serta ketulan jernih disyaki syabu seberat 16.65 gram.

€œTurut ditemui dua paket plastik lutsinar kecil mengandungi serbuk putih disyaki heroin seberat 2.06 gram bersama penimbang digital dan wang tunai RM1,300, katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

"Pemeriksaan dalam rumah pula menemui selaras senapang angin, pedang samurai sepanjang 68 sentimeter dan buku lima," katanya.

Saifi berkata, suspek kedua pula ditahan di dalam rumah itu dan merampas dadah syabu seberat 12.55 gram.

"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 7 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958," katanya.

Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Sungai Petani untuk mendapatkan perintah tahanan reman. FOTO Omar Osman

tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Februari 2017 @ 1:54 PM