Ahmad Zahid dan Abang Johari bermesra dengan warga OKU pada Majlis Pemimpin Bersama RELA di Dewan Masyarakat Lundu sempena Pilihan Raya Kecil DUN Tanjong Datu. FOTO Luqman Hakim Zubir
Ahmad Zahid dan Abang Johari bermesra dengan warga OKU pada Majlis Pemimpin Bersama RELA di Dewan Masyarakat Lundu sempena Pilihan Raya Kecil DUN Tanjong Datu. FOTO Luqman Hakim Zubir
Shamran Sarahan


Lundu: Pusat Latihan Ikatan Relawan Rakyat (RELA) bernilai RM165 juta yang bakal dibina di Sematan akan mengukuhkan lagi sistem pertahanan di Sarawak, khususnya melalui penubuhan Unit Sempadan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penubuhan pusat latihan itu dapat membantu meningkatkan keahlian dan melatih anggota RELA di negeri ini bagi membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengawal sempadan negara di Sarawak.

“Jumlah anggota PDRM dan ATM tidak seramai RELA yang dianggotai 3.05 juta anggota di seluruh negara ini, manakala di Sarawak saja ada 345,000 anggota.

“Sebab itu saya mengumumkan minggu lalu mengenai penubuhan Unit Sempadan sebagai penyerapan tugas membabitkan anggota RELA bagi menjaga sempadan di Sarawak, begitu juga di Sabah, terutama di kawasan sempadan yang tidak ada polis dan tentera,” katanya ketika Majlis Pemimpin Bersama RELA Daerah Lundu, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Abang Openg, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem.

Ahmad Zahid berkata, penubuhan Unit Sempadan itu mampu mengekang masalah kebolosan di kawasan sempadan membabitkan barangan bersubsidi, senjata api, dadah, kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan penjenayah.

“RELA juga berada di baris hadapan untuk pertahankan Bumi Kenyalang bersama polis dan tentera.

“Bukan kerana memusuhi negara jiran, sebaliknya untuk menentang musuh penyeludup barangan bersubsidi, PATI dan juga kongsi gelap penyeludupan yang menggunakan laluan tikus di sempadan negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2017 @ 1:25 PM