Anggota APM membersihkan pokok tumbang di Jalan Hospital, Berek 12. FOTO ihsan pembaca
Anggota APM membersihkan pokok tumbang di Jalan Hospital, Berek 12. FOTO ihsan pembaca
Mohamad Zulhairie Manzaidi


Kota Bharu: Lima sekeluarga terselamat apabila kereta jenis Toyota Camry yang dinaiki mereka nyaris dihempap sebatang pokok tumbang di Jalan Hospital, Berek 12, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 6.45 petang itu, kenderaan terbabit dari arah Jalan Hospital menuju ke Berek 12, sebelum sebatang pokok tiba-tiba tumbang dan merintangi jalan.

Menurut saksi kejadian, Wan Mahadi Wan Mat, 31, keluarga terbabit terselamat apabila sempat memberhentikan kenderaan dan hanya terkena dahan kecil sahaja.

"Nasib baik pemandu sempat berhentikan kereta, jika tidak sudah tentu mereka dihempap atau terlanggar pokok itu.

"Kereta berkenaan hanya calar di bahagian hadapan," katanya di sini, hari ini.

Katanya, ketika kejadian dia sedang makan di kedainya sebelum mendengar bunyi dentuman kuat.

Menurutnya, apabila keluar dari kedai, dia melihat pokok itu sudah tumbang dan nyaris meragut nyawa orang awam.

Kerja pembersihan dilakukan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan pada 7.45 petang dan siap sepenuhnya satu jam kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2017 @ 10:56 PM