BERNAMA

Kuala Lumpur: Penghantar surat didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah memukul lelaki warga Nepal menggunakan topi keledar.

Majistret Mahyudin Mohmad Som menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Harith Radzalli Firdaus, 21, kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada pengawal keselamatan, Thapa Shankar, 40, di tempat parkir kereta sebuah pangsapuri di Jalan Anjung Putra Off, Jalan Sultan Ismail, di sini, pada 8.30 pagi, 4 Februari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana daripada dua hukuman itu.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam M. Mathavan memohon mahkamah mengenakan denda minimum dengan alasan anak guamnya kesal atas perbuatannya dan perlu bekerja bagi membantu keluarga.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Adilah Noordin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal mengambil kira kecederaan yang dialami mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2017 @ 5:26 PM