BEYONCE
BEYONCE
Georgie Joseph


Kegembiraan penyanyi Beyonce Knowles yang juga isteri penyanyi rap, Jay-Z pastinya berganda sekarang.

Hujung tahun lalu, penyanyi berusia 35 tahun ini mendominasi pencalonan Grammy Awards yang akan berlangsung pada 12 Februari ini.

Semalam, ibu kepada Blue Ivy, 5, ini mengumumkan dia bakal menimang anak kembar pula di Instagram.

Pengumuman itu sekali gus menjawab teka-teki mengenai susuk tubuh Beyonce yang mengalami perubahan sejak akhir-akhir ini.

Dia bukan saja kelihatan sedikit berisi, malah perutnya juga semakin besar.

“Kami mahu berkongsi cinta dan kegembiraan kami. Kami sangat bersyukur kerana keluarga ini bakal bertambah dengan kehadiran dua lagi cahaya mata. Terima kasih atas semua ucapan anda. - The Carters,” tulisnya di Instagram.

Apabila menyentuh mengenai pengumuman berita gembira, Beyonce memang bijak dalam membuat naratif.

Pada 2011, dia meraba perutnya dan membuat kejutan dengan pengumuman hamil anak pertama pada acara MTV Video Music Awards.

Itu pun selepas dia menyampaikan persembahan penuh bertenaga menerusi lagu Love On Top.

Penyanyi berkenaan memang terkenal dengan sikapnya yang tidak suka bercerita mengenai hal peribadi.

Dalam mana-mana temu bual sekali pun, topik yang mahu dibincangkannya hanyalah mengenai muzik.

Bagaimanapun, dia mengambil keputusan mendedahkan kisah perkahwinannya menerusi pelancaran album dan sebuah filem di HBO berjudul Lemonade, tahun lalu.

Menerusi dua medium itu, Beyonce bercerita cabaran dalam perhubungan termasuk kisah curang hinggalah perdamaian.

Lirik lagunya pula kebanyakan menyentuh mengenai kekecewaan, pertengkaran dan memaafkan. Ia sekali gus memberi gambaran sebenar pergolakan rumah tangganya dengan Jay-Z seperti yang digembar-gemburkan ramai.

Lemonade dicalonkan dalam sembilan kategori di Grammy Awards dan Beyonce juga dijadualkan menjadi artis utama untuk malam kedua di Festival Coachella pada April nanti.

Buat masa sekarang, segala-galanya nampak berjalan lancar untuk pasangan itu dan begitu juga kandungannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2017 @ 11:02 AM