Ong yang diiringi anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Majistret Georgetown kerana memiliki video dan gambar lucah seorang pelancong. FOTO Hadzlihady Hassan
Ong yang diiringi anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Majistret Georgetown kerana memiliki video dan gambar lucah seorang pelancong. FOTO Hadzlihady Hassan
Hadzlihady Hassan


Georgetown: Seorang pemilik rumah tumpangan dihukum penjara dua bulan dan denda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, kerana memiliki video dan gambar lucah seorang pelancong dalam telefon bimbitnya.

Tertuduh, Ong Hock Soon, 38, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Mohamad Amin Shahul Hamid.

Mengikut fakta kes, Ong yang juga seorang ejen hartanah didakwa memiliki video serta gambar lucah dalam telefon bimbitnya ketika berada di Me N U Cafe and Lounge, Jalan Stewart jam 10.30 malam, Sabtu lalu.

Tertuduh didapati merakam gambar seorang pelancong lelaki dari Ireland berusia 28 tahun yang ketika itu sedang mandi di tingkat dua rumah tumpangan terbabit.

Bagaimanapun, kejadian itu disedari mangsa yang kemudian merampas telefon bimbit tertuduh sebelum membuat laporan polis.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Fatin Hussin manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Terdahulu, Nurul Fatin meminta hukuman setimpal dikenakan terhadap Ong kerana sebagai pemilik rumah tumpangan itu, dia tidak sepatutnya melayan pelanggannya sedemikian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2017 @ 1:20 PM