SERONOK berlakon di Indonesia.
SERONOK berlakon di Indonesia.
Sudirman Mohd Tahir


Pembabitan pelakon jelita Fazura dalam filem Indonesia, Bulan Terbelah Di Langit Eropah pada 2015 dan Warkop Reborn tahun lalu bukti dia serius untuk melebarkan sayap ke negara jiran itu.

Bagi Fazura, 34, tawaran yang diterima itu adalah peluang keemasan untuk dia membuktikan bakat lakonan.

Fazura juga bertuah apabila dipilih untuk bekerjasama dengan syarikat produksi di sana memandangkan industri hiburan Indonesia seperti diketahui sukar menerima kehadiran orang luar.

Terbaru Fazura yang juga penyanyi lagu Hancur Aku memaklumkan bakal terbabit dengan beberapa lagi filem di sana yang akan menjalani penggambaran tahun ini.

“Jika sebelum ini saya melakonkan watak pembantu, insya-Allah dalam filem akan datang ada filem yang menyaksikan saya membawa watak utama. Bagi saya, watak pembantu atau utama tidak menjadi masalah, yang penting pengalaman ditimba sepanjang bekerja di sana.

“Sebenarnya bukan mudah orang luar diberikan watak utama di sana. Jadi, apabila dapat bekerjasama dengan pengarah dan pelakon di sana ia sesuatu yang berharga dan cukup bagus untuk saya. Susah nak dapat peluang begitu,” katanya.

Menurut Fazura yang juga pelakon filem Langit Cinta, bekerja dengan produksi di sana diibaratkan seperti satu keluarga.

Paling menyeronokkan apabila dia mendapat layanan yang cukup baik daripada semua kru.

“Pelakon di sana sangat profesional. Memang senang bekerjasama dengan mereka. Tidak ada istilah nak meninggi diri, malah mereka juga menghormati kehadiran saya,” katanya.

Katanya, tahun ini jadual kerjanya bertambah padat dan sibuk berbanding tahun lalu.

“Bukan saja bakal menjayakan filem di sana, tapi saya ada juga beberapa tawaran filem di sini. Jika semuanya berjalan lancar baru saya boleh kongsikan. Bagaimanapun, saya sangat gembira dengan semua perkhabaran itu.

“Kalau tahun lalu saya sibuk, tahun ini kesibukan saya berganda. Saya tak kisah asal saja ia bermanfaat dan berbaloi untuk kerjaya saya,” katanya.

Duet dengan penyanyi Filipina

Selepas berduet dengan penyanyi Indonesia Ridho Rhoma berjudul Bulan Terbelah Di Langit Amerika, terbaru Fazura muncul dengan lagu berjudul Nothing Like Pag-ibig bersama penyanyi Filipina Jason DY.

Lagu yang menjalani proses rakaman di Filipina tahun lalu itu baru sahaja dilancarkan pada 24 Januari lalu.

“Alhamdulillah lagu itu mendapat maklum balas baik daripada peminat di sana. Saya bangga dapat berduet dengan Jason yang memiliki suara sedap. Malah, dia juga penyanyi yang sangat berbakat. Pada masa sama, lagu itu mesra pendengar.

“Selepas merakamkan lagu itu, kami terus menjalani penggambaran video muzik. Insya-Allah lagu itu mulai dipromosi di sini pada Mac. Bukan apa, sekarang saya nak memberi fokus kepada filem J Revolusi yang bakal ditayangkan pada bulan depan,” katanya yang ditemui pada acara Kasi Chance anjuran Universal Music Malaysia.

Pada acara itu, Fazura dipilih menjadi juri dan pengkritik yang menyaksikan 13 bakat muda menunjukkan bakat nyanyian mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2017 @ 5:01 AM