Ratu Cantik Perancis, Iris Mittenaere, dimahkotakan sebagai Miss Universe oleh pemenang tahun lalu,  Pia Wurtzbach dari Filipina, mengatasi Raquel Pelissier (Haiti - kedua) dan Andrea Tovar (Colombia - ketiga). - Foto AP/AFP
Ratu Cantik Perancis, Iris Mittenaere, dimahkotakan sebagai Miss Universe oleh pemenang tahun lalu, Pia Wurtzbach dari Filipina, mengatasi Raquel Pelissier (Haiti - kedua) dan Andrea Tovar (Colombia - ketiga). - Foto AP/AFP
AP

Manila: Pelajar pergigian berusia 23 tahun dari Perancis, Iris Mittenaere, dimahkotakan sebagai Miss Universe oleh pemenang tahun lalu, Pia Wurtzbach dari Filipina di sini, hari ini.

Ratu Cantik Haiti, Raquel Pelissier, 25, yang terselamat daripada gempa bumi 2001 yang memusnahkan kampungnya di tempat kedua, manakala Ratu Cantik Colombia, Andrea Tovar, 23, tempat ketiga.

Iris Mittenaere berasal dari bandar kecil, Lille, di utara Perancis dalam jawapan bagi soalan sebelum ke final berkata, dia sudah cukup berbangga jika berjaya berada dalam kalangan tiga peserta terakhir dalam pertandingan 86 peserta itu.

Antara hadiah untuk pemenang tahun ini ialah gaji selama setahun sebagai Miss Universe, tinggal di apartmen mewah di New York termasuk perbelanjaan, biasiswa kolej lakonan, tajaan pakaian, solekan dan latihan penampilan diri.

Soalan terakhir kepada tiga peserta itu ialah menyatakan kegagalan dalam hidup masing-masing dan apa yang mereka pelajari daripada kegagalan itu.

“Saya banyak kali gagal dalam hidup ini. Bila gagal, kita perlu bangun, cuba lagi dan terus mencuba,” katanya yang tidak menyatakan apa kegagalannya.

Pelissier pula berkata: “Saya terselamat dari gempa bumi ( yang mengorbankan 300,000 orang dan 1.5 juta lagi hilang tempat tinggal).

“Saya rasa gagal kerana tidak dapat mencapai impian namun saya pilih untuk menjadi sangat positif dan boleh berada di sini hari ini kerana berusaha mengejar impian saya.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 January 2017 @ 7:17 PM