PENUNJUK perasaan berkumpul di tempat penggambaran filem berkenaan di Jaipur.   - Agensi
PENUNJUK perasaan berkumpul di tempat penggambaran filem berkenaan di Jaipur. - Agensi

New Delhi: Seorang pengarah Bollywood diserang sekumpulan penunjuk perasaan yang membantah filem barunya ‘Padmavati’ yang mereka dakwa memutarbelitkan fakta sejarah mengenai etnik mereka.

Rakaman video menunjukkan kumpulan itu yang menggelar diri mereka Rajput Karni Sena menampar pengarah Sanjay Leela Bhansali dan menarik rambutnya ketika penggambaran filem berkenaan di sebuah kubu di Jaipur, kelmarin.

Penunjuk perasaan yang turut merosakkan set penggambaran, menuduh Bhansali memutarbelitkan fakta sejarah berkait dengan hubungan seorang permaisuri Rajput dengan seorang pemerintah Muslim dalam filem berkenaan, menurut media tempatan.

Rajput ialah kumpulan pejuang Hindu dan menurut sejarah, mereka pernah menguasai beberapa negeri di barat India.

Aktres yang melakonkan watak permaisuri Rajput, Deepika Padukone, mempertahankan filem berkenaan.

“Tidak ada sejarah yang diputarbelitkan,” katanya dalam Twitter.

Narayan Singh yang mendakwa mengetuai kumpulan Karni Sena berkata, pihaknya sudah memberi amaran kepada syarikat perfileman terbabit mengenai kesilapan fakta.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak terbabit dalam serangan itu.

“Kami berkumpul dan membantah. Ada seorang yang menampar pengarah itu,” katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 January 2017 @ 6:26 AM