Ramallah: Palestin menyerahkan draf akhir resolusi mengiktirafnya sebagai sebuah negara kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam yang menggesa keamanan dicapai dengan Israel dalam tempoh setahun.

Ia turut menyatakan harapan penjajahan terhadap wilayah Palestin dihentikan menjelang hujung 2017.

Agensi berita rasmi WAFA melaporkan Presiden Mahmoud Abbas memaklumkan kepada Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) John Kerry melalui telefon bahawa pihaknya akan meneruskan inisiatif itu walaupun dibantah Israel serta AS.

Beberapa negara Eropah menggesa had waktu yang tidak terlalu ketat untuk membolehkan lebih banyak sokongan diperoleh berhubung resolusi itu.

Pegawai Palestin Saeb Erekat berkata: “Hari ini (semalam) wakil kami akan berhimpun di New York dan menyerahkan draf resolusi kepada Majlis Keselamatan dengan harapan undian dapat dilakukan esok atau lusa.”

Difahamkan, antara perkara yang dicadangkan termasuk rundingan dilakukan berasaskan sempadan yang wujud sebelum Israel menakluk Tebing Barat, Baitulmaqdis Timur dan Semenanjung Gaza pada perang 1967. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Disember 2014 @ 5:03 AM