MAJLIS berkhatan disertai 16 kanak-kanak anjuran MUIP
MAJLIS berkhatan disertai 16 kanak-kanak anjuran MUIP
PASANGAN pengantin Orang Asli diraikan dalam satu majlis yang cukup bermakna.
PASANGAN pengantin Orang Asli diraikan dalam satu majlis yang cukup bermakna.
WAN Abdul Wahid (kiri) bersama mualaf baru.
WAN Abdul Wahid (kiri) bersama mualaf baru.
Mohd Rafi Mamat

Penganjuran program Ziarah Dakwah oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) bagaikan membawa sinar baru kepada 10 penduduk Orang Asli suku kaum Jakun apabila hati mereka terbuka untuk memeluk Islam.

Dalam program dua hari bertempat di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Orang Asli Runchang, Pekan itu, majlis pernikahan 18 pasangan pengantin dan majlis berkhatan disertai 16 kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 12 tahun turut diadakan.

Selain itu, diadakan aktiviti ziarah dakwah dari rumah ke rumah oleh pegawai MUIP, persembahan kebudayaan Islam dan jamuan sekampung yang dihadiri penduduk setempat nyata memanfaatkan masyarakatnya.

Timbalan Yang Dipertua MUIP Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, program julung kali diadakan itu mendapat kerjasama Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Pekan dan MUIP Pekan.

Katanya, sebelum ini hanya ada lima keluarga Orang Asli di RPS Orang Asli Runchang beragama Islam namun kini jumlahnya bertambah kepada 30 keluarga selepas aktiviti dakwah dilakukan pihaknya secara berterusan.

Bagi memantapkan ilmu agama dalam kalangan Orang Asli itu, kelas agama terus diadakan di bawah pimpinan pengerah atau pendakwah terdiri daripada masyarakat Orang Asli sendiri.

“Kini, ada 13,785 mualaf Orang Asli di Pahang, kebanyakan mereka menetap di RPS dan perkampungan tradisional di kawasan luar bandar termasuk pedalaman di negeri ini.

“Saudara baru di negeri ini layak menerima elaun khas mualaf RM500 sebulan selama tujuh tahun dan golongan terbabit turut diberikan pendidikan agama secara berterusan oleh guru agama yang dilantik MUIP.

“Tahun ini, MUIP menyediakan peruntukan sebanyak RM2 juta untuk membantu 15,602 mualaf di seluruh negeri termasuk Orang Asli,” katanya yang akan terus mengadakan pelbagai program dakwah di penempatan Orang Asli di negeri ini.

Wan Abdul Wahid berkata, pihaknya akan menaik taraf surau di RPS Orang Asli Runchang tahun ini bagi memberi kemudahan kepada masyarakat Islam di situ menunaikan solat Jumaat yang dipimpin pegawai PAID Pekan dan MUIP Pekan.

Beliau berkata, usaha MUIP membantu Orang Asli mualaf atau yang baru memeluk Islam dilakukan secara berterusan bagi memastikan mereka kekal dan selesa seterusnya dapat mengamalkan tuntutan agama.

Bagi Ita Geseh, 34, hatinya terbuka memeluk Islam selepas melihat cara hidup beberapa saudaranya yang mengamalkan ajaran Islam seperti sembahyang dan berpuasa tanpa sebarang masalah.

“Saya berfikir beberapa bulan sebelum mengambil keputusan memeluk Islam. Islam agama yang sebenar. Syukur hidayah datang dalam diri saya.

“Sebelum ini, hidup saya tanpa pegangan agama dan hanya mengamalkan kepercayaan nenek moyang selain kehidupan terlalu bebas serta mengikut kehendak hati,” katanya yang bekerja di kantin Sekolah Kebangsaan (SK) RPS Orang Asli Runchang.

Beliau yang juga ibu tunggal berkata, sokongan saudara dan rakan Islam lain diharap dapat meningkatkan lagi keimanan serta semangatnya meneruskan kehidupan.

“Selepas ini, saya akan belajar agama dan membaca al-Quran secara berterusan dengan tunjuk ajar ustaz. Saya berharap satu hari nanti dapat menjadi umat Islam yang sejati dengan mengamalkan semua perkara dituntut.

“Saya juga berharap satu hari nanti semua lima anak dapat memeluk Islam dengan ikhlas,” katanya.

Anis Awang, 16, berkata minat kepada Islam sudah lama terpendam dalam hati namun disebabkan beberapa halangan, hasratnya berkubur begitu saja.

Kini impiannya menjadi kenyataan dan bersyukur apabila hasrat itu tertunai dalam suasana begitu menggembirakan.

“Tidak lengkap memeluk Islam jika tidak mendalami ilmu agama, selepas ini saya akan belajar sembahyang dan beberapa perkara lain untuk menjadi umat Islam sejati yang sentiasa melakukan suruhan agama.

“Saya akan belajar agama dengan ustaz yang bertugas, walaupun sibuk dengan kerja harian namun tetap akan meluangkan masa menuntut ilmu,” katanya yang bekerja sendiri di RPS Orang Asli Runchang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2017 @ 2:58 PM