Pegawai Penguat Kuasa SPRM mengiringi Zamri selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan menyamar sebagai pegawai imigresen bagi tujuan menerima suapan. FOTO ihsan SPRM
Pegawai Penguat Kuasa SPRM mengiringi Zamri selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan menyamar sebagai pegawai imigresen bagi tujuan menerima suapan. FOTO ihsan SPRM
Aizat Sharif


Alor Setar: Seorang pekerja sebuah hotel dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, tadi, atas tiga pertuduhan meminta rasuah daripada pemilik syarikat yang mempunyai pekerja asing tanpa dokumen sah dengan menyamar sebagai pegawai imigresen.

Tertuduh, Zamri Che Rose, 52, dibawa ke mahkamah jam 10.15 pagi sambil diiringi tiga anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah.

Bagi pertuduhan pertama, Zamri didakwa menghubungi Abdul Rahman Abu Bakar, 27, yang berada di Alor Mengkudu, di sini, melalui satu panggilan telefon pada 11 Januari lalu jam 1.52 tengah hari untuk meminta suapan wang berjumlah RM2,000 sebagai dorongan tidak menangkap warga asing yang berkerja dengan Abdul Rahman.

Bagi pertuduhan kedua, Zamri didakwa cuba menerima suapan sebanyak RM2,000 daripada Amir Mansor, 46, pada 11 Januari lalu jam 10.35 malam di Jalan Istana Kuning, di sini.

Bagi pertuduhan ketiga, Zamri didakwa cuba menipu Amir dengan menyamar sebagai pegawai imigresen bernama Kamarulzaman Idrus dan membuat cubaan mendorong Amir menyerahkan wang berjumlah RM2,000.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16 (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) Akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih daripada 20 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, dia didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim dan tertuduh mengangguk faham serta mengaku bersalah.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM A Hafiizh Abu Bakar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Nabisha memerintahkan tertuduh membayar wang jaminan sebanyak RM18,000 dan menetapkan sebutan semula kes pada 24 Januari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2017 @ 2:45 PM