BERNAMA

Kuantan: Seorang remaja maut tercampak dari motosikal ditungganginya selepas bertembung sebuah pikap pacuan empat roda di Kilometer 2.5 Jalan Bentong-Karak dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Mohamad Mansor Mohamad Nor berkata, dalam kejadian kira-kira 7.45 pagi itu, motosikal Muhammad Farhan Norhisam, 18, dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.

"Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dipercayai akibat hentakan kuat selepas tercampak selain topi keledar yang dipakainya tertanggal, menyebabkan kecederaan di kepala," katanya di sini, hari ini.

Mohamad Mansor berkata, mangsa yang juga anak anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong dipercayai dalam perjalanan dari Ketari ke Benus, Bentong, ketika kejadian.

Bagaimanapun, beliau berkata pemandu Toyota Hilux Lee Pou Yong, 45, yang berasal dari Taman Puchong Utama, Selangor bersama isteri dan tiga anak mereka tidak cedera.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 January 2017 @ 4:41 PM