Tapak kaki harimau yang berjaya di kesan. - Foto hsan PERHILITAN
Tapak kaki harimau yang berjaya di kesan. - Foto hsan PERHILITAN
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: Harimau belang yang dirakam berehat di kawasan berhampiran Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) di Bukit Besi, Dungun, hingga tular di media sosial, dipercayai sudah beredar ke kawasan lain.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu, Mohd Hasdi Husin berkata, jabatan berkenaan menjalankan operasi menjejaki harimau terbabit dan pihaknya akan memasang perangkap selepas mengesan lokasinya nanti.

Menurutnya, pihaknya segera menjalankan pemantauan selepas menerima laporan mengenainya daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

“Sebaik menerima laporan, kami segera melakukan pemantauan di kawasan berkenaan namun harimau itu diyakini sudah beredar ke kawasan lain.

“Usaha menjejaki harimau itu masih dijalankan dan hari ini berjaya menemui kesan tapak kaki haiwan itu di kawasan peronda LLM mengesannya berdekatan susur keluar Bukit Besi ke Dungun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2017 @ 4:47 PM