Dua kapal kontena yang berlanggar di Pelabuhan Johor dekat Pasir Gudang malam kelmarin. FOTO Hairul Anuar Rahim
Dua kapal kontena yang berlanggar di Pelabuhan Johor dekat Pasir Gudang malam kelmarin. FOTO Hairul Anuar Rahim
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Pemilik kepada dua kapal kontena yang terbabit dalam pelanggaran di Pelabuhan Johor dekat Pasir Gudang malam kelmarin, diarah membayar bon bernilai RM1 juta bagi setiap kapal sebagai jaminan sehingga kerja pembersihan tumpahan minyak selesai.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, Datuk Ayub Rahmat berkata, pemilik kapal diarahkan membayar bon berkenaan serta merta dan sekiranya gagal berbuat demikian, mereka berdepan tindakan undang-undang.

"Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri sudah menghantar notis kepada pemilik kapal mengikut Seksyen 31 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang mana mereka dikehendaki menurunkan muatan dari kapal berkenaan bagi membolehkan kerja pembersihan dijalankan.

"JAS sudah mengeluarkan arahan penahanan kapal dan bayaran bon jaminan sebanyak RM1 juta bagi setiap kapal juga dibuat mengikut Seksyen 38 akta yang sama.

"Sekiranya pemilik gagal menjelaskan bon jaminan yang diarahkan, tindakan undang-undang boleh diambil dan kapal berkenaan boleh disita mengikut Seksyen 27 akta yang sama," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Operasi Bencana Ke-2 di Wisma Alam Sekitar di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah JAS negeri Datuk Dr Mohammad Ezzani Mat Salleh, Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Johor Muhammad Razif Ahmad dan Timbalan Pegawai Pegawai Perikanan Baharin Kassim.

Beliau berkata, pemilik kedua-dua kapal yang terbabit dalam pelanggaran itu adalah bertanggungjawab sepenuhnya dalam semua kerja pembersihan di laut dan pantai sehingga kerajaan berpuas hati.

Katanya, ia termasuk membayar pampasan kepada kira-kira 350 nelayan yang terjejas akibat insiden tumpahan minyak berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2017 @ 5:48 PM