BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang juru pendawaian elektrik yang sebelum ini dihukum penjara 10 tahun kerana merogol pekerja salon, terpaksa meringkuk lebih lama dalam penjara apabila Mahkamah Tinggi di sini, menambah hukuman itu kepada 18 tahun.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohamad Shariff Abu Samah membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap hukuman penjara 10 tahun diputuskan hakim Mahkamah Sesyen terhadap S Shasitharan, 21, pada 9 Mei lalu, selepas tertuduh mengaku bersalah.

Beliau turut menambah hukuman sebatan daripada lima kepada 10 sebatan terhadap Shasitharan dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkap pada 21 November 2015.

Mohamad Shariff dalam penghakimannya berkata kesalahan dilakukan tertuduh menjijikkan kerana sanggup merogol mangsa yang ketika itu dalam haid.

“Tertuduh bukan sahaja memuaskan nafsu binatangnya tetapi turut mengugut mangsa menggunakan kapak bagi mendatangkan ketakutan," kata Mohamad Shariff yang turut menyifatkan perbuatan dilakukan tertuduh adalah kesalahan serius.

Shasitharan didapati bersalah merogol wanita Thai berusia 18 tahun tujuh bulan itu dalam sebuah kereta di kawasan Taman Bukit Cheras pada 8.50 pagi, 21 November 2015.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(2)(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Disember 2016 @ 7:32 PM