Zubir menyiram pusara anaknya selepas selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Aliff, Johor Bahru. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Zubir menyiram pusara anaknya selepas selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Aliff, Johor Bahru. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Jenazah Muhammad Farhan Na'imullah Zubir, 26, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Aliff di sini, kira-kira jam 7.50 malam tadi.

Terdahulu, jenazah Muhammad Farhan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada jam 11.55 pagi sebelum dibawa ke rumah keluarganya di Jalan Bilal Mahmood, Kampung Bahru di sini, untuk disembahyangkan.

Turut berada di tanah perkuburan ialah bapanya, Zubir Ahmad, 53, dan tunangnya, Nor Syahirah Abu Bakar, 23, bersama adik-beradik dan saudara mara yang lain.

Allahyarham Muhammad Farhan, ditemui lemas di Sungai Ovens, Myrtleford, Australia dalam kejadian jam 8 malam (waktu Australia) pada 13 Disember lalu, selepas dia yang merantau sejak setahun lalu ke negara berkenaan sebagai pemetik buah di Farm Buffalo River Road itu dikatakan berenang dengan rakannya berhampiran Nimmo Bridge di Myrtleford sebelum lemas.

Allahyarham bertunang dengan Nor Syahirah pada September lalu dan dijangka pulang ke Malaysia pada Januari depan untuk melangsungkan perkahwinan yang dijadualkan pada September 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2016 @ 9:09 PM