SAMBUTAN Krismas bersama kanak-kanak kurang bernasib baik.
SAMBUTAN Krismas bersama kanak-kanak kurang bernasib baik.
Hajahfarhana Tarmudi


Seramai 90 kanak-kanak dari lima rumah kebajikan di Lembah Klang diraikan dalam majlis sambutan Krismas bersama kakitangan Maybank. Mereka terdiri daripada kanak-kanak rumah kebajikan Stepping Stones Living Centre, City Revival Boys & Girls Homes, House of Joy, Rumah Destiny dan Pusat Jagaan Rumah Juara.

Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan Maybank Nora Manaf berkata, setiap tahun pihaknya mewujudkan semangat kebersamaan dengan tetamu istimewa yang diundang khas bagi sambutan seumpama ini.

“Selain memberi hadiah, tahun ini kami mengajak mereka untuk merasai nikmat berkongsi rezeki atau ‘Paying it Forward’. Menerusi aktiviti ini kami percaya dapat menanam semangat memberi dalam kalangan mereka.”

“Kami menggalakkan mereka untuk melelong hasil kerja tangan Krismas yang dibuat dalam sesi aktiviti kepada kakitangan Maybank,” katanya.

Ujarnya, wang hasil jualan yang diraih sebanyak RM3,600 pada acara lelongan berkenaan diberikan kepada rumah kebajikan lain yang turut menghadiri majlis sambutan itu.

Hadir sama, Pengerusi Maybank Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Abdul Farid Alias; ahli lembaga pengarah dan pengurusan kanan selain kakitangan.

Menariknya, lobi Menara Maybank dihias berwarna-warni dengan hiasan dan hasil kerja tangan kanak-kanak berkenaan seperti topi Santa, kad ucapan, stoking dan pelbagai bungkusan gula-gula.

Persembahan kumpulan muzik tempatan Voice of Percussion bergema di ruang legar bagi menyemarakkan lagi semangat sambutan Krismas. Ini diikuti alunan lagu Krismas persembahan kakitangan Kristian Maybank yang turut diiringi oleh kanak-kanak dari Stepping Stones Living Centre dan pengurusan kanan Kumpulan.

Pada majlis berkenaan, semua kanak-kanak yang diraikan turut menerima beg hadiah mengandungi pelbagai barangan seperti alat tulis dan keperluan bilik mandi selain wang tunai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Disember 2016 @ 5:37 AM