Mohd Sabran Md Sani


Johor Bahru: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menzahirkan rasa dukacita atas kejadian di KM 137.3 lebuh raya PLUS, arah utara, dekat Kampung Jayor, Pagoh, di sini, awal pagi, 24 Disember.

Baginda mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang dikongsi menerusi Facebok rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, malam ini.

“Saya berasa amat dukacita dengan makluman berita kehilangan nyawa dalam tragedi kemalangan bas di Pagoh, pada awal pagi Sabtu ini.

"Saya turut bersimpati kepada mereka yang kehilangan ahli keluarga tersayang dalam tragedi yang memilukan ini.

“Semoga Allah SWT berikan semangat serta kekuatan kepada mereka yang sedang berkabung. Doa saya supaya mereka yang cedera akan pulih sepenuhnya," titah baginda.

Baginda turut menasihatkan rakyat jelata berhati-hati di jalan ketika musim cuti perayaan ini.

"Kita semua mempunyai tanggungjawab untuk memastikan supaya tidak berlaku kecelakaan atau kehilangan nyawa apabila berada di jalan raya," titahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Disember 2016 @ 8:49 PM