Kenderaan yang merempuh pagar rumah Ketua MCA Hulu Langat. FOTO ihsan PDRM
Kenderaan yang merempuh pagar rumah Ketua MCA Hulu Langat. FOTO ihsan PDRM
Fardy Bungga

Kajang: Seorang lelaki berusia 40 tahun ditahan selepas menceroboh rumah Ketua MCA Hulu Langat dalam kejadian di Jalan Bendahara, Bandar Mahkota Cheras, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, suspek datang ke rumah mangsa memandu kereta Audi berwarna putih dan merempuh pagar rumah serta sebuah kereta milik mangsa sebelum melarikan diri menaiki teksi.

Suspek kemudiannya kembali ke rumah berkenaan menaiki sebuah lagi kereta Nissan Fairlady sebelum meninggalkan kenderaan itu di tepi rumah mangsa.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Othman Nanyan berkata, suspek berjaya dikenalpasti hasil penemuan empat cap jari yang ditemui pada kedua-dua kenderaan yang dipandunya.

Katanya, polis masih menjalankan siasatan untuk mengenalpasti motif kejadian dan pemeriksaan awal suspek didapati positif dadah serta mempunyai dua rekod jenayah lampau.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2016 @ 12:19 PM