Oleh Azhan Ismail

Kuala Lumpur

Pasukan Selangorfc.com B muncul juara Kejohanan Futsal Excelife FBX e-Fans 2014 yang diadakan di Uptown Sports Bangi, baru-baru ini.

Kejohanan futsal anjuran Yob4ever.com membabitkan kelab penyokong siber pasukan bola sepak Liga Malaysia menarik minat penyertaan 20 pasukan dari lapan negeri.

Selain Selangorfc.com yang mewakili Selangor, pasukan lain turut bertanding, Yob4ever (Perak), GanuSoccer (Trengganu), Tok Gajah FC (Pahang), Kelate.net dan TRW (Kelantan), Johorfc (Johor), N9Futbol (Negeri Sembilan), HijauKuning.com (Kedah) serta beberapa pasukan jemputan media.

Kejohanan edisi keempat turut mengetengahkan tema khusus 'Bersama Menentang Keganasan Bola Sepak' yang merujuk kepada beberapa insiden negatif dalam kalangan penyokong pasukan negeri berikutan pergaduhan dan suasana kurang harmoni antara kelab penyokong negeri.

Ketua Pengarah kejohanan Azhan Ismail menegaskan kejohanan kali ini membuktikan semua kelab penyokong negeri boleh bersatu dalam sesuatu kejohanan tanpa sebarang insiden tidak baik.

"Semua pasukan bermain dengan penuh semangat kesukanan tinggi dan menggunakan peluang berkumpul untuk bertukar pendapat berkaitan kemajuan bola sepak negeri dan negara," katanya.

Perlawanan akhir berlangsung sengit dengan Selangorfc.com B menewaskan pasukan Dunia Sukan Online melalui sepakan penalti 3-2 selepas masa penuh terikat 2-2.

Tempat ketiga dimenangi pasukan Excelife A yang menewaskan pasukan Tok Gajah A juga melalui sepakan penalti.

Sementara itu, Mohd Shafiq dari Selangorfc.com B dinobat Pemain Terbaik Kejohanan manakala Syamil Rosli dari Dunia Sukan Online Penjaga Gol Terbaik. Penjaring Terbanyak dimenangi Shahril Nizam Kamaruddin dari HijauKuning.com Otai.

Hadiah disampaikan wakil Excelife Saffuan Shafiq dan Pengasas Yob4ever, Hisham Kassim.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Oktober 2014 @ 5:04 AM