REKAAN ambil inspirasi daripada pakaian tradisional Jepun digabung dengan busana negara lain.
REKAAN ambil inspirasi daripada pakaian tradisional Jepun digabung dengan busana negara lain.
Redzuan Muharam


Sebut saja kimono, automatik akan terlintas mengenai pakaian tradisional Jepun.

Malah, pakaian tradisional diperbuat daripada sutera itu cukup istimewa kerana boleh dipakai oleh lelaki mahupun wanita.

Lelaki lebih cenderung memakai kimono ringkas berwarna hitam atau coklat, manakala wanita pula mempunyai lebih banyak pilihan corak dan warna bergantung kepada cita rasa masing-masing.

Namun, agak janggal jika masyarakat negara ini menggayakan rekaan penuh kimono ketika keluar bersiar melainkan seseorang itu menghadiri majlis dengan tema berkenaan.

Menyedari hal itu, pereka fesyen dan pengasas label pakaian Nawre, Nik Erwan Nik Roseli tampil dengan rekaan kimono moden yang sesuai untuk golongan muda atau kita gelarkan Gen Y masa kini.

Istimewanya, rekaannya itu bersifat ‘unisex’ dan sesuai dijadikan pakaian harian sama ada untuk ke acara kasual mahupun majlis formal.

“Saya gemarkan pakaian yang mudah disuai padan maka tercetuslah idea untuk menghasilkan rekaan ini yang mengambil inspirasi daripada pakaian tradisional Jepun dan gabungan negara lain iaitu Thailand, Indonesia dan Vietnam.

“Rekaan ini amat sesuai untuk golongan muda dan tiga ciri utama yang saya tekankan adalah longgar, besar (oversized) serta sesuai untuk lelaki atau wanita,” katanya yang mempunyai Ijazah Seni Reka Fesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) .

Menurut Nik Erwan, semua saiz badan boleh menyarungkan pakaian rekaannya itu dan paling penting tidak panas kerana diperbuat daripada fabrik yang sesuai dengan iklim tempatan iaitu ‘Neoprene’, ‘Double Weave’, ‘Cotton Drill’ dan ‘Heavy Crepe’.

“Selain ‘ loose pant’ dan jaket, kimono rekaan saya boleh disuai padan dengan topi sebagai aksesori kepala dan sandal atau sniker bersesuaian boleh disarung sebagai pelengkap gaya.

“Pendek kata, rekaan ini sesuai untuk mereka yang berani bereksperimen dan ingin tampil lain dan tidak ‘cliche’,” katanya.

Nik Erwan berharap rekaan keluarannya mendapat sambutan dan diterima baik penggemar fesyen terutama generasi muda.

“Sebagai pereka fesyen, saya berharap supaya Gen Y kini lebih terbuka dan mempunyai mentaliti moden supaya berani untuk lebih menonjol serta menyerlah ketika berpakaian.

“Bukan saja kimono malah pakaian lain juga akan nampak tidak janggal dengan mereka jika tampil yakin di khalayak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 November 2016 @ 5:02 AM