Zaki antara penerima Agropreneur 2016 dan Zaimi membuat lawatan. FOTO SYAFIQ AMBAK
Zaki antara penerima Agropreneur 2016 dan Zaimi membuat lawatan. FOTO SYAFIQ AMBAK
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: “Selama ini saya berniaga dalam ketakutan kerana bimbang dikenakan tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) tetapi kini saya bukan saja bebas berniaga malah pendapatan meningkat selepas menerima bantuan dana daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA),” kata Mohd Zaki Hassan, 34.

Mohd Zaki dari Kampung Pak Pa di sini, adalah seorang daripada lima penerima dana Agropreneur Muda dan Projek Khas FAMA yang menerima dana FAMA berjumlah RM15,000 setiap seorang melalui Program Usahawan Karavantani FAMA 2016.

Dia yang berniaga pau, jagung dalam cawan dan beberapa jenis air dengan kereta di kawasan tumpuan awam sebelum ini sering dilanda kebimbangan kerana tidak mempunyai dokumen lengkap daripada PBT.

“Bagaimanapun, bantuan FAMA ini membolehkan saya membeli karavan yang diubah suai sesuai dengan makanan dijual.

“Melalui bimbingan FAMA, saya dapat menambah pendapatan selain tidak lagi mengalami kesukaran untuk berniaga kerana FAMA menyediakan kawasan strategik seperti Pasar Tani Padang Hiliran dan Seberang Takir,” katanya ketika ditemui pada Program Usahawan Karavantani FAMA 2016 di Pejabat FAMA di sini, semalam.

Mohd Zaki berkata, program yang ditawarkan FAMA itu membantu peniaga kecil-kecilan untuk menaik taraf perniagaan memandangkan konsep itu semakin popular dan menjadi pilihan pelanggan.

Sementara itu, Pengarah FAMA negeri Mohd Zaimi A Razak berkata, lima lagi usahawan disasarkan untuk terbabit dengan perniagaan menggunakan konsep karavan pada tahun depan.

“Melalui dana RM15,000, FAMA akan menaik taraf karavan usahawan ini dengan mengecat kenderaan itu dengan warna yang ditetapkan FAMA selain menyediakan bantuan peralatan dalaman mengikut keperluan perniagaan mereka.

“FAMA juga akan mendapatkan kerjasama daripada PBT bagi menyediakan lebih banyak tapak niaga seperti di Taman Awam Batu Buruk dan Dataran Shahbandar di Kuala Terengganu dan Geliga Waterfront di Kemaman selain di semua tapak pasar tani di seluruh negeri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2016 @ 9:25 PM