BAKRI (baju biru) melawat gerai di Tapak Pasar Tani Ampangan. Foto Mohd Amin Jalil
BAKRI (baju biru) melawat gerai di Tapak Pasar Tani Ampangan. Foto Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


Seremban: Pasar Tani Agro Pelancongan pertama di negeri ini akan diwujudkan di tapak medan gerai buah-buahan segar di Batu 4 Port Dickson, bagi menambah daya tarikan daerah pelancongan itu awal tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sembilan, Datuk Bakri Sawir, berkata sebagai permulaan seramai 30 usahawan tani dipilih bagi menyertai pasar tani terbabit.

Katanya, pasar tani agro pelancongan itu akan beroperasi setiap hujung minggu bagi memberi nilai tambah kepada produk pelancong sedia ada di pantai peranginan berkenaan.

"Selain itu, ia diharap dapat memberi peluang kepada pelancong beriadah sambil membeli-belah terhadap produk usahawan makanan dan industri asas tani tempatan.

"Melalui pendekatan ini, kita berharap dapat membantu usahawan asas tani tempatan memasarkan produk masing-masing bagi menambah pendapatan selepas ramai usahawan tani terkesan dengan pandemik Covid-19," katanya selepas melawat Pasar Tani Ampangan sempena pembukaan semula pasar tani itu pasca Covid-19 dan sambutan ulang tahun tahun Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) ke-56 di Ampangan di sini, hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan merangkap EXCO Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Mohamad Rafie Abd Malek dan ADUN Labu merangkap EXCO Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Ismail Ahmad serta Pengarah FAMA Negeri Sembilan, Asmizal Jaafar.

Bakri yang juga ADUN Klawang berkata, pasar tani agro pelancongan itu nanti akan menjual pelbagai produk pertanian dan industri asas tani termasuk penjualan kraftangan dan produk makanan.

Beliau berkata, ketika ini pihak FAMA negeri sedang dalam peringkat kajian, selepas Negeri Sembilan memasuki Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Buat masa ini FAMA mengadakan program Myrakyat secara mingguan di tapak berkenaan.

"Usaha ini bagi melihat sama ada inisiatif ini mendapat sambutan daripada pengunjung ataupun sebaliknya sebelum Pasar Tani Agro Pelancongan beroperasi sepenuhnya awal tahun depan," katanya.

Dalam pada itu, Bakri berkata, terdapat 553 usahawan pasar tani di negeri ini dengan mencatat nilai jualan keseluruhan RM7.9 juta bermula awal tahun sehingga Ogos lalu.

Menurutnya, tahun ini FAMA Negeri Sembilan menaik taraf empat pasar tani yang merangkumi pembangunan imej termasuk mengecat semua lot dan penukaran papan tanda.

"Sebanyak 16 pasar tani yang aktif akan dibuka sepenuhnya menjelang minggu depan susulan pembukaan sektor ekonomi yang lebih meluas dalam Fasa Empat PPN," katanya memaklumkan Pasar Tani Ampangan yang dibuka pada 3 Disember 1985 adalah pasar tani pertama ditubuhkan di negeri ini dan pasar tani terawal diwujudkan di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 September 2021 @ 1:44 PM