Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: “Saya berasa sedih, tapi itu keputusan yang tepat.”

Demikian pandangan bekas pelumba Formula Satu (F1) negara Alex Yoong yang menganggap keputusan kerajaan untuk tidak menganjurkan perlumbaan berprestij itu selepas kontraknya tamat pada 2018, sebagai tepat.

Tegas Alex, biarpun berat untuk menerima keputusan itu, dia berpendapat pelbagai penilaian sudah pasti diambil kira sebelum tindakan itu diambil.

“Bagi saya keputusan itu memang sesuai kerana sejak kebelakangan ini minat terhadap sukan ini semakin berkurangan.

“Ketika Malaysia kali pertama menganjurkan F1 lewat era 1990-an, objektif ketika itu adalah untuk memperkenalkan Malaysia di mata dunia.

“Kini semua pihak sudah mengenali negara kita. Saya fikir objektif itu sudah tercapai,” katanya.

Jelas Alex, perlumbaan F1 tidak boleh diletakkan sebagai kepentingan paling utama, sebaliknya industri sukan permotoran harus dilihat secara menyeluruh.

“Malah F1 tidak banyak membantu dalam pembangunan sukan permotoran tempatan,” katanya.

Begitupun tegas Alex, sekiranya kerajaan berhasrat terus menganjurkan perlumbaan paling berprestij itu, perancangan rapi dan tersusun perlu dilakukan.

“Sukan permotoran bukan sekadar F1 saja. Kita perlu menekankan juga aspek pembangunan dan ia memerlukan sokongan padu.

“Kita perlu mempunyai beberapa litar lain yang membolehkan anak muda kita menjalani latihan dan berminat dengan sukan permotoran.

“Dari situ, barulah mungkin kita dapat melahirkan lebih ramai pemandu berbakat yang mempunyai peluang cerah untuk beraksi di F1,” katanya.

Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menerusi laporan akhbar semalam berkata, keputusan untuk tidak menganjurkan F1 bermula 2019 adalah kerana kerajaan perlu membelanjakan sehingga RM300 juta bagi menganjurkannya.

Jumlah itu tidak setimpal dengan pulangan diterima sejak kebelakangan ini kerana kehadiran penonton untuk menyaksikan perlumbaan itu di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) semakin merosot.

Namun Pengerusi SIC Tan Sri Azman Yahya menerusi laporan akhbar semalam berkata, pihaknya akan melakukan kajian terlebih dulu berkenaan perlumbaan F1 sehingga baki kontrak 2018 terutama daripada segi impak ekonomi selepas kos perlumbaan itu meningkat 10 kali ganda berbanding penganjuran kali pertama pada 1999.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2016 @ 7:47 AM