Gerai yang terbakar. FOTO ihsan bomba
Gerai yang terbakar. FOTO ihsan bomba
Junaidi Ladjana

Tawau: Hampir 200 pengunjung termasuk peniaga di bangunan Pasar Tanjung, di sini, bertempiaran lari menyelamatkan diri apabila dua gerai menjual pakaian di tingkat dua bangunan berkenaan terbakar, pagi tadi.

Dalam kejadian 9.35 pagi itu, pengunjung dan peniaga yang berada di bangunan itu terkejut apabila melihat kepulan asap di tingkat dua sebelum keluar menyelamatkan diri.

Bangunan Pasar Tanjung mempunyai tiga tingkat dan menempatkan beberapa gerai menjual pakaian, kosmetik, sayur-sayuran, makanan dan pejabat Pusat Transformasi Bandar (UTC).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Faizal Ahmad berkata, sebaik menerima panggilan daripada orang awam jam 9.40 pagi, sepasukan bomba dikerah ke lokasi kebakaran.

"Tiga jentera dengan kekuatan seramai 13 anggota tiba di lokasi kejadian seminit kemudian lalu memadam kebakaran.

"Api berjaya dikawal 10 minit kemudian dan kebakaran hanya membabitkan dua gerai menjual pakaian di tingkat dua," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, ketika kejadian dianggarkan 200 pengunjung termasuk peniaga berada di dalam bangunan berkenaan.

"Bagaimanapun semua mereka berjaya keluar dan tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.

"Punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan bomba," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2016 @ 1:10 PM