GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Junaidi Ladjana


Lahad Datu: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) mengesahkan kejadian dua nelayan warga Indonesia diculik sekumpulan lelaki bersenjata di perairan Merabung, dekat sini, 7.30 malam tadi.

Komander ESSCOM, Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, siasatan mendapati ketika kejadian bot pukat dinaiki 13 nelayan termasuk seorang juragan sedang berlabuh di perairan Merabung pada 6.30 petang untuk menangkap ikan.

"Sejam selepas itu, lima lelaki memakai topeng dengan lengkap bersenjata panjang menghampiri bot nelayan sebelum menahannya.

"Kumpulan itu kemudian merosakan sistem komunikasi bot berkenaan sebelum melarikan juragan berusia 43 tahun dan seorang awak-awak berusia 36 tahun," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, kumpulan itu juga turut merampas semua telefon bimbit milik nelayan terbabit serta sejumlah wang tunai sebelum beredar menuju ke perairan antarabangsa.

"Sejam selepas itu, kru bot memaklumkan kepada bot lain yang lalu di kawasan berkenaan sebelum bot itu menghubungi pasukan keselamatan.

"Usaha menjejaki kumpulan terbabit sedang dilakukan," katanya.

Kejadian ini adalah kes penculikan terbaru di kawasan Zon Selamat Pantai Timur Sabah (ESSZONE) selepas dua juragan bot nelayan warga Indonesia diculik kumpulan bersenjata dalam dua kes berasingan di perairan Kinabatangan, 5 November lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2016 @ 12:46 PM